
BANJUL, Gambia: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala ramai lagi dilaporkan hilang selepas bot yang membawa kira-kira 200 migran terbalik di perairan berhampiran Kampung Jinack, Wilayah North Bank, Gambia, sekitar tengah malam baru-baru ini.
Kerajaan Gambia memaklumkan seramai 96 orang berjaya diselamatkan, dengan sebahagian daripada mereka mengalami kecederaan serius. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan oleh tentera laut Gambia susulan panggilan kecemasan, melibatkan beberapa kapal tentera laut serta bot nelayan.
Bot berkenaan kemudiannya ditemui terdampar di beting pasir. Pihak berkuasa turut mengesahkan beberapa mangsa bukan warganegara Gambia dan proses pengenalpastian sedang dijalankan.
Insiden itu dipercayai berlaku ketika bot migran tersebut dalam perjalanan menuju Kepulauan Canary, Sepanyol, laluan berbahaya yang sering digunakan migran Afrika untuk memasuki Eropah.
-AFP