Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • AirBorneo lancar penerbangan sulung Kuching–Mukah, Kuching–Tanjung Manis
  • TEMPATAN

AirBorneo lancar penerbangan sulung Kuching–Mukah, Kuching–Tanjung Manis

Utusan Sarawak 8 hours ago
SIDANG MEDIA… Dato Sri Lee Kim Shin berucap pada sidang media sempena pelancaran penerbangan sulung AirBorneo. Foto Adele Rissa 

KUCHING: AirBorneo secara rasmi melancarkan penerbangan sulungnya bagi laluan Kuching ke Mukah dan Kuching ke Tanjung Manis, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan udara negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelancaran itu merupakan satu pencapaian penting dan bersejarah buat Sarawak, selain menandakan kejayaan pengambilalihan operasi MASwings oleh AirBorneo yang berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu.

“Hari ini menandakan satu pencapaian besar untuk Sarawak dengan pelancaran rasmi penerbangan sulung AirBorneo. 

“Ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan udara serta menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang negeri,” katanya ketika berucap pada sidang media selepas majlis pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo, di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini. 

PESAWAT AirBorneo bersiap untuk penerbangan sulung Kuching–Mukah, satu detik bersejarah bagi keterhubungan udara Sarawak. Foto Adele Rissa 

Beliau menegaskan bahawa bagi Sarawak, penerbangan memainkan peranan penting dalam menghubungkan kawasan luar bandar dan pedalaman, selain menyokong perdagangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan serta pelaburan.

“Melalui AirBorneo, kerajaan Sarawak kini memiliki dan mengendalikan MASwings yang terus menyediakan perkhidmatan udara luar bandar penting di Sarawak, Sabah dan Labuan, dengan aspek keselamatan, kebolehpercayaan serta kesinambungan perkhidmatan kekal menjadi keutamaan sepanjang tempoh peralihan ini,” ujarnya lanjut. 

Sebagai pengendali perkhidmatan udara luar bandar, AirBorneo juga akan berkembang secara berperingkat ke laluan serantau terpilih berdasarkan ketersediaan pesawat, permintaan pasaran, kelestarian laluan serta pematuhan terhadap perjanjian perkhidmatan udara dua hala yang berkaitan.

REKA bentuk uniform rasmi AirBorneo yang diperkenalkan, mencerminkan identiti dan warisan Sarawak dalam industri penerbangan. Foto Adele Rissa 

Sehubungan itu, AirBorneo akan bekerjasama rapat dengan institusi pengajian tinggi termasuk Kolej Universiti ICATS, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Universiti Curtin Malaysia bagi melahirkan tenaga kerja mahir serta mengekalkan bakat dalam negeri.

Dato Sri Lee menjelaskan bahawa perancangan perniagaan AirBorneo meliputi aspek kos operasi, kecekapan bahan api, subsidi perkhidmatan udara luar bandar serta model komersial sedang dikaji secara profesional oleh pasukan dan pakar berkaitan bagi memastikan kelestarian jangka panjang.

Menyentuh mengenai pembangunan lapangan terbang luar bandar, beliau memaklumkan bahawa kajian akan dijalankan termasuk cadangan menaik taraf kemudahan sedia ada seperti pemanjangan landasan bagi membolehkan operasi pesawat bersaiz lebih besar dengan tahap keselamatan yang lebih baik.

Bagi penerbangan sulung hari ini, seramai 54 penumpang direkodkan bagi laluan Kuching–Mukah manakala 15 penumpang bagi laluan Kuching–Tanjung Manis.

Penerbangan sulung tersebut melibatkan pesawat ATR72-500 bagi laluan Kuching–Mukah dengan nombor penerbangan MH3421 yang berlepas pada 8.25 pagi, manakala laluan Kuching–Tanjung Manis menggunakan pesawat DHC6-400 menerusi penerbangan MH3711 pada 8.45 pagi.

Oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: 1,140 mangsa masih berlindung di 10 PPS, trend pemindahan meningkat
Next: Eksklusif: Rezeki musim tengkujuh, Kedai Kopi Joo Seng tetap dipenuhi pelanggan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.