KUCHING: Mendiang Datuk Sarjan (B) Awang Raweng bukan sahaja pahlawan negara, tetapi juga pemimpin yang sangat baik dan tegas di dalam keluarganya.
Maling Awang, anak kepada mendiang menyifatkan bapanya sebagai seorang yang sangat sangat tegas dalam mendidik anak-anaknya, namun mendiang juga sangat baik hati kepada anak dan menantu, apatah lagi dengan cucunya.
“Meskipun saya sudah lama tidak tinggal bersamanya, dia sering bertanya khabar dengan semua anak-anaknya serta melayani kami dengan sangat baik dan mesra.
“Ketika saya bersamanya pergi ke London buat kali pertama pada 1968, dia menceritakan detik cemas ketika melindungi rakan askar dari Komanwel dengan hanya berbekalkan sebiji grenade dan senapang,” katanya lagi.
Panggau Awang, anak mendiang yang bersamanya ketika menghembuskan nafas terakhir di Sri Aman turut berkongsi cerita mengenai mendiang.
Menurutnya, dia telah menjaga mendiang selama empat tahun kerana jarak rumah panjang mendiang terlalu jauh daripada hospital dan mendiang juga tinggal sendirian di sana.
“Ketika bapa saya menghembuskan nafas terakhir di rumah, saya terus menghubungi seluruh ahli keluarga.
“Pada mulanya saya ingin membawa jenazah mendiang terus ke Kuching pada hari pertama, namun ramai yang datang memberikan penghormatan di Sri Aman ketika itu, saya menganjakkan pada keesokkannya,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, mendiang sering menghabiskan waktunya dengan berehat dan menonton televisyen akibat faktor usia sebenarnya yang mencecah 104 tahun.
Sementara itu, Panggau yang mewakili ahli keluarganya turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak yang memudahkan urusan perjalanan membawa jenazah ke Kuching dan membuat penghormatan terakhir mengikut upacara pengebumian negeri dan adat istiadat askar.
“Upacara ini adalah satu penghormatan yang terbesar daripada kerajaan Sarawak untuk kami sekeluarga khususnya bapa saya sendiri, dan saya amat berbangga dan terharu kerana pemergian bapa saya disanjung seperti wira,” katanya.
Oleh Akmal Adib Yusup