MIRI: Ditubuhkan pada tahun 1972, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) masih mampu bertahan sehingga hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pertubuhan ini masih bertahan kerana mempunyai pentadbiran yang tersusun.
“SABERKAS masih hidup sehingga hari ini disebabkan oleh pimpinan menyusun peralihan dengan baik daripada Tun Rahman, Tun Taib kemudian saya. Susunan yang begitu baik dan saya rasa bahawa di peringat akar umbi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat kita.
“Selain itu, pertubuhan ini mantap dari semua sudut dan dalam keadaan baik.
“Kalau tidak silap saya, dahulu Sabah ada SANYA (Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah) sekarang tak ada lagi tapi SABERKAS masih hidup sehingga hari ini dan dihormati orang lain,” katanya.
Abang Johari yang juga merupakan mantan Presiden SABERKAS berkata demikian pada Majlis Sarapan Pagi Bersama Ahli Cawagan Piasau dan Penyampaian Sijil Baktimu Dikenang- Kamek Orang SABERKAS di sini, semalam.
Tambah beliau, penyatuan dan persefahaman di kalangan ahli pelbagai kaum dan agama menjadikan pertubuhan ini disegani ramai pemimpin.
“Saya melihat SABERKAS sebagai satu pertubuhan yang terkuat di Malaysia, kerana ramai pemimpin dari Semenanjung datang ke Sarawak, diberi taklimat mengenai SABERKAS dan mereka kagum dengan pertubuhan.
“Ini kerana, kita dapat meneruskan pembangunan belia dengan tersusun dan juga sebagai input kepada dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata dengan pendekatan seimbang, belia dilatih mengurus kaum dengan mengelak sensiviti kaum dan agama.
“Dari awal lagi, belia kita sudah dilatih bagaimana menguruskan masyarakat yang berbilang kaum dan agama, ini penting, kerana dalam SABERKAS semua kaum ada dan kita tahu sensiviti, jadi kita tahu bagaimana seimbangkannya dengan tidak menyentuh sensiviti kaum dan agama,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari yakin Presiden baharu, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan membawa lebih banyak kecemerlangan kepada SABERKAS khasnya sumbangan belia kepada pembangunan negeri ini.
“Tahun ini saya juga menyerahkan pimpinan kepada orang baharu, Datuk Karim yang telah banyak melihat pembangunan belia. Jagalah SABERKAS ini baik-baik.
“Bawa ke era baharu yang mencabar dari sudut perubahan sosial dan ekonomi di masa depan,” katanya.
Terdahulu Menteri Muda Pelancongan Kesenian Kebudayaan merangkap Pengerusi SABERKAS cawangan Piasau Datuk Sebastian Ting berterima kasih atas sumbangan Abang Johari terhadap pembangunan SABERKAS selama ini.
Objektif majlis adalah untuk mengenang jasa bakti ahli termasuk ahli lama yang akan terus diingati dan dihargai sepanjang masa.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Temenggong Dato Abdul Rahman Abang Fa’daill, Penghulu Samad Alip antara 30 ahli SABERKAS yang menerima sijil dari Abang Johari, pada majlis tersebut.
Oleh Liong Chai Ling