
PETRA JAYA: Penduduk di kawasan terdedah banjir dinasihatkan supaya mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata paras air boleh berubah dan meningkat dengan pantas. Sehubungan itu, kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan keselamatan nyawa.
“Pengalaman kejadian banjir di Bintulu sebelum ini menunjukkan keadaan boleh menjadi berbahaya dalam tempoh yang singkat.
“Oleh itu, saya menggesa orang ramai serta pemimpin setempat agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi terlibat bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta memastikan kebajikan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa hujan dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari, selain fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada 2 dan 4 Januari ini, yang berpotensi meningkatkan paras air terutama di kawasan rendah.
Beliau berkata, jentera JPBNS telah mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah untuk menilai semula tahap kesiapsiagaan, khususnya melibatkan persiapan PPS, termasuk aspek kebersihan serta kemudahan asas.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bersiap sedia dengan bekalan makanan dan peralatan keperluan melalui pusat bekalan dan pembekal lantikan, selain Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) yang turut diarahkan menjalankan pemeriksaan kesihatan serta memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di setiap PPS.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, setakat ini lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di sekitar Kuching bagi menempatkan mangsa banjir melibatkan Dewan Masyarakat Stapok, Dewan Sinar Budi Baru, Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu, Dewan Taman Malihah serta Surau Nurul Najin Kampung Darul Stapok.
Turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Abdul Wahab Rahim.
-UKAS