
KUCHING: Di celah kesibukan Lebuh India di sini, aroma putu mayung yang dikukus segar sering membuatkan orang ramai berhenti melangkah, di bawah laluan berbumbung itu, sebuah motosikal yang diparkir kemas bertukar fungsi menjadi gerai kecil.
Di situlah Abu Bakar Rajab, 67, atau lebih dikenali sebagai Pak Abu Putu Mayung, setia mencari rezeki setiap hari dengan motosikal digunakan sebagai pengangkutan dan tapak niaga.
Kotak kukusan besar dipasang di belakang, dan apabila berhenti, di situlah urus niaga berlangsung sangat ringkas, praktikal dan berkesan.
“Saya berasal dari Pulau Pinang dan kini menetap di Kampung Gersik, Kuching sejak 1980 selepas dipindahkan bertugas ke Sarawak.
“Saya berkahwin pada 1987 dan mula menjual putu mayung 1992, sebelum menjadikannya sumber pendapatan sepenuh masa selepas bersara dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2020.
“Dulu saya jual part-time sebab ada kerja hakiki. Sekarang inilah kerja saya,” katanya ringkas ketik ditemui Utusan Sarawak semalam.

Pak Abu menceritakan cara penyediaan putu mayung daripada tepung beras yang diayak, diperap dan dikukus, satu proses tradisional yang memerlukan kesabaran.
“Kuih tersebut bukan sekadar makanan, tetapi warisan yang panjang sejarahnya. Putu mayung dipercayai diperkenalkan oleh masyarakat India ke Tanah Melayu sekitar 1930-an.
“Cara peniaga terdahulu berniaga ialah menjaja dengan bakul di atas kepala, berjalan dari kampung ke kampung seawal pagi.
“Zaman sudah berubah. Kita ikut cara sekarang, tapi cara buat dan rasanya tetap sama,” ujarnya.
Lebuh India yang sinonim dengan kepelbagaian budaya menjadi lokasi yang sangat sesuai untuk perniagaan Pak Abu kerana kawasan itu ramai pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan kaum, yang masing-masing tertarik dengan aroma kukusan putu mayung serta keunikan gerai motosikalnya.
Namun yang lebih unik, Pak Abu pandai bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Cina, Melanau, serta bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, membolehkannya berinteraksi dengan pelanggan daripada pelbagai kaum dengan lancar dan mesra, sekali gus mengeratkan hubungan serta membina kepercayaan pelanggan terhadap perniagaannya.
“Keluarga adalah sumber kekuatan. Dikelilingi anak dan cucu, saya percaya kehidupan sederhana tetapi jujur lebih bermakna.
“Angka jualan tidak menjadi keutamaan, sebaliknya kesinambungan rezeki dan kepuasan pelanggan,” luahnya.
Di sebalik sebuah motosikal yang berhenti di Lebuh India, tersimpan kisah ketekunan seorang lelaki mempertahankan tradisi.
Setiap helai putu mayung yang dihulurkan bukan sekadar kuih, tetapi lambang warisan, kerja keras dan perubahan zaman yang diterima dengan tenang.
Oleh Masrin Affirah