
MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan yang berkunci dalam kejadian di kawasan Kian Hin Tudan, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.10 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati benar sebuah kereta milik pelapor telah terkunci dengan seorang kanak-kanak lelaki berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya di sini.

Menurut beliau, operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kenderaan berkenaan dan tindakan pantas anggota bomba berjaya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Operasi berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada 12.26 tengah hari dan mangsa disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Henry menasihatkan orang ramai khususnya pemandu kenderaan persendirian supaya sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan anak-anak kecil di dalam kenderaan dalam keadaan berkunci, walaupun untuk tempoh yang singkat.
“Keadaan ini amat berbahaya dan boleh mengancam nyawa kanak-kanak terutamanya dalam cuaca panas. Kami berharap kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.
Oleh Liong Chai ling