Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Tahun baharu, perubahan baharu, perkara yang menanti rakyat Malaysia pada 2026
  • NASIONAL

Tahun baharu, perubahan baharu, perkara yang menanti rakyat Malaysia pada 2026

Utusan Sarawak 10 hours ago

KUALA LUMPUR: Tahun 2026 bukan sekadar tentang azam baharu, tetapi juga menuntut rakyat supaya lebih peka dan bersedia menghadapi pelbagai perubahan baik daripada kos sara hidup, keselamatan digital sehinggalah penguatkuasaan undang-undang yang akan memberikan impak langsung kepada kehidupan jutaan rakyat.

Tahun depan juga menandakan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelan lima tahun untuk menentukan hala tuju ekonomi, sosial, dan kesejahteraan rakyat.

Berikut ialah beberapa perkara penting sepanjang 2026 dan perlu diberi perhatian:

Sesi Persekolahan Kembali Januari: Selepas hampir tiga tahun kalendar akademik terpaksa bermula pada Mac susulan pandemik COVID-19, sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali normal pada Januari 2026. 

Bagi negeri Kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu) kalendar akademik bermula pada 11 Januari hingga 31 Disember, manakala negeri Kumpulan B (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) bermula dari 12 Januari hingga 31 Disember. 

Bantuan Awal Persekolahan (BAP): Sebanyak 5.2 juta murid sekolah kerajaan akan menerima BAP RM150 melibatkan peruntukan RM800 juta, dengan penyaluran mulai 2026 melalui sekolah dan guru kepada ibu bapa.

Kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP): Sistem kemasukan akan diselaraskan mulai pengambilan Januari tahun hadapan, membolehkan pemohon memohon ke kedua-duanya tetapi hanya satu tawaran akan diberikan bagi mengelak pertindihan.

Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026): Sektor pelancongan dijangka menerima lonjakan besar menerusi penganjuran VM2026 bertemakan “Malaysia Truly Asia” dan “Surreal Experiences”, yang membuka peluang kepada pelancong meneroka kepelbagaian budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi negara.

Belanjawan 2026 memperuntukkan lebih RM700 juta bagi merancakkan promosi pelancongan termasuk RM500 juta untuk Kempen VM2026 dan RM60 juta bagi Dana Galakan Promosi, Pemasaran dan Penganjuran Acara Pelancongan dan Kebudayaan, sekali gus dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha tempatan dan komuniti luar bandar.

Pengecualian Cukai Pendapatan RM1,000 untuk Pelancongan Domestik: Pembayar cukai individu layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan domestik tertakluk kepada syarat ditetapkan, sebagai usaha menggalakkan perbelanjaan dalam negara dan menyokong industri pelancongan tempatan menjelang VM2026.

Pengecualian Pelaksanaan E-invois: Kerajaan juga telah menaikkan nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-invois mandatori daripada RM500,000 kepada RM1 juta, bermula 1 Januari 2026, sebagai langkah meringankan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berpendapatan di bawah paras itu daripada keperluan segera sistem invois digital. 

Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS): Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan STSDS secara berfasa mulai 1 Januari 2026, dengan fasa pertama melibatkan instrumen tertentu, diikuti dokumen pindah milik hartanah pada 2027 dan baki kategori dokumen lain pada 2028.

Pelepasan cukai pendapatan individu baharu: Antaranya, skop pelepasan cukai gaya hidup bernilai maksimum RM2,500 setahun diperluas untuk meliputi perbelanjaan pembelian peranti teknologi mesra alam seperti mesin pengkompos sisa makanan, demi menggalakkan gaya hidup lestari.

Bagi menyokong kesejahteraan keluarga, had pelepasan cukai yuran pendidikan awal anak sehingga RM3,000 setahun kini turut merangkumi bayaran kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar, selain taska dan tadika untuk anak berumur hingga 6 tahun.

Selain itu, kerajaan meningkatkan had pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan berkaitan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) berusia bawah 18 tahun daripada RM6,000 kepada RM10,000, berkuat kuasa bagi Tahun Taksiran 2026.

Pelarasan Gaji Fasa 2 SSPA: Penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan menikmati pelarasan gaji Fasa 2 yang dijadualkan pada 22 Jan.

Pelarasan gaji baharu itu yang berkuat kuasa pada 1 Jan akan menyaksikan Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) akan menerima tujuh peratus lagi, manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan sebanyak tiga peratus. 

Pelarasan gaji Fasa 2 merupakan kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024 dengan kadar 15 peratus untuk P&P serta tujuh peratus bagi KPT. 

Pada fasa satu pelarasan gaji, kumpulan P&P telah menerima kenaikan lapan peratus, manakala KPT empat peratus yang dibayar pada Disember 2024.

Langkah itu dijangka memberi impak positif terhadap pendapatan bulanan penjawat awam serta perbelanjaan isi rumah.

Gaji Hakim Dinaikkan: Kali terakhir gaji hakim dinaikkan pada 2015 dan mereka tidak menerima kenaikan gaji tahunan seperti skim perkhidmatan lain, selain tidak dibenarkan memegang jawatan atau terlibat dalam sebarang perniagaan.

Sehubungan itu, selaras dengan usaha memperkukuh kewibawaan, integriti dan kebebasan badan kehakiman yang kini berada pada landasan lebih baik berbanding sebelum ini, kerajaan bersetuju menaikkan gaji hakim hingga 30 peratus berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Kebajikan Rakyat: Kerajaan sekali lagi akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas pada pertengahan Februari, melibatkan peruntukan keseluruhan RM2 bilion bagi membantu persiapan Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina.

Keselamatan Digital: Ruang digital negara turut menyaksikan perubahan besar pada 2026 apabila semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan lapan juta atau lebih pengguna perlu berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula pada 1 Januari melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah kawal selia itu bertujuan memastikan platform berskala besar beroperasi dalam kerangka undang-undang secara teratur dan berkesan, selain memikul tanggungjawab jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Seiring dengan itu, Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) akan berkuat kuasa bermula pada 1 Januari, menekankan perlindungan pengguna, mengawal penipuan siber, eksploitasi dan penyamaran, termasuk ancaman melibatkan penyalahgunaan kecerdasan buatan serta teknologi deepfake.

Dana Inovasi Media: Fasa 1 akan dibuka bermula dari 1 hingga 14 Januari 2026 bagi menyokong transformasi industri media negara agar kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era digital, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 mengenai peruntukan dana berjumlah RM30 juta.

Penguatkuasaan Undang-Undang: Akta Perintah Khidmat Masyarakat akan berkuat kuasa pada 1 Januari sebagai alternatif hukuman, menekankan pemulihan dan tanggungjawab sosial. Individu yang membuang sampah dan meludah di tempat awam di sekitar ibu kota, bakal dikenakan tindakan kompaun hingga RM2,000 selain khidmat masyarakat melebihi 12 jam selama enam bulan.

Dalam pada itu, bagi penguatkuasaan jalan raya, sistem pembayaran saman trafik diganti dengan konsep “the less you delay, the less you pay”, menawarkan pengurangan hingga 50 peratus bagi pembayaran awal.

Belia dan Politik: Had umur belia diturunkan kepada 30 tahun mulai 1 Januari susulan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, menekankan penglibatan golongan muda dalam pertubuhan dan kepimpinan belia.

Pilihan Raya Negeri Melaka juga dijangka menjadi tumpuan pada 2026 yang bakal memberikan gambaran sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang memandangkan Dewan Undangan Negeri Melaka akan terbubar secara automatik pada Disember 2026. 

Agenda Sukan: Penganjuran beberapa agenda sukan akan diadakan tahun depan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, melibatkan 474 acara daripada 37 jenis sukan.

Malaysia juga diberi hak penganjuran dua kejohanan akuatik utama pada 2026, iaitu Kejohanan Polo Air Asia (Bawah 18 Tahun) dan Kejohanan Akuatik Kumpulan Umur SEA ke-48. 

Akuatik Malaysia (MAS) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Kejohanan Polo Air Asia (Bawah 18 Tahun) yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 15 Mac di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil akan menandakan negara menjadi tuan rumah acara berkenaan buat julung-julung kali.

RMK13: Tahun 2026 menandakan permulaan RMK13 (2026-2030) berteraskan tiga asas utama, iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.

Pelan pembangunan lima tahun itu menyasarkan pembentukan masyarakat yang inklusif dan progresif, selain menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi digital serantau melalui penghasilan inovasi serta produk dan perkhidmatan bertaraf global Made by Malaysia.

Kesemua perkembangan ini menjadikan 2026 bukan sekadar tahun baharu, tetapi satu tahun yang menuntut rakyat lebih peka, bersedia menghadapi perubahan dan mengambil peluang dengan perkara yang sedang dan akan berlaku di sekeliling mereka. – Bernama

Continue Reading

Previous: Amaran hujan berterusan tahap buruk, waspada di Sarawak – MetMalaysia
Next: JKDM sasar kutipan hasil lebih tinggi pada 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.