

BEKENU: Empat batang paip HDPE bersaiz 355 milimeter, masing-masing sepanjang 12 meter dan digunakan untuk projek bekalan air bersih di kawasan Bekenu–Tiris, dilaporkan telah dipotong kepada tiga bahagian dan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut maklumat dari Facebook Niah Community hari ini, paip berkenaan sebelum ini diletakkan berhampiran simpang masuk Kampung Tunah bagi tujuan kerja pemasangan projek berkenaan.
Namun, hasil pemeriksaan mendapati kesemua paip tersebut telah hilang selepas dipotong, sekali gus menimbulkan kerugian serta berpotensi menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek bekalan air bersih di kawasan berkenaan.
Pihak berkaitan memandang serius kejadian ini dan memohon kerjasama orang awam yang mungkin melihat sebarang aktiviti mencurigakan atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.
Orang ramai diminta untuk segera menghubungi pihak berkenaan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu.
Segala kerjasama dan bantuan daripada masyarakat setempat amat dihargai demi memastikan projek kemudahan awam ini dapat diteruskan seperti yang dirancang, tegasnya lagi.
Oleh Adum Liu