
SARIKEI: Seorang warga emas wanita dari Rumah Garai menerima sebuah katil pesakit boleh laras hasil inisiatif kebajikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Jurucakap Pusat Khidmat Repok, berkata penyerahan tersebut dilaksanakan melalui pasukan Pusat Khidmat Repok yang diketuai Kapitan Ling Dien Yong.
“Penerima bantuan ialah Amban Linggi yang berumur 89 tahun dari Rumah Garai.
“Bantuan ini diberikan bagi memastikan pesakit terlantar menerima kemudahan penjagaan yang lebih selesa.
“Keutamaan Dato’ Sri Huang Tiong Sii adalah membantu golongan kurang berkemampuan dan warga emas yang memerlukan sokongan tambahan bagi urusan rawatan harian,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, bantuan ini turut memfokuskan aspek kebajikan pesakit yang memerlukan alatan kesihatan khas di kediaman masing-masing, khususnya di kawasan luar bandar.
“Sebagai wakil rakyat yang prihatin dengan rakyat di Parlimen Sarikei dan DUN Repok, beliau sentiasa memastikan bantuan seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa agar rakyat tidak terpinggir.
“Beliau amat berharap agar bantuan ini dapat meringankan beban keluarga serta membantu meningkatkan keselesaan pesakit sepanjang rawatan,” katanya.
Oleh Earl Anek