KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak perlu memandang serius nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah agar tidak tergesa-gesa menamatkan atau melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen berkata, walaupun ketika sambutan bulan Ramadan, disusuli oleh sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak, tindakan tersebut tidak perlu tergesa-gesa terutama di kawasan zon merah Kuching dan Kota Samarahan.
Pada Rabu lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) membuat pengumuman dan membenarkan peniaga atau penduduk Sarawak menjual makanan untuk dibawa pulang dari pekarangan rumah mereka pada bulan Ramadan dari jam 3.00 petang hingga 10.00 malam.
“Walaupun saya memahami keadaan ekonomi berkenaan keputusan ini terutama memandangkan sambutan bulan Ramadan, tetapi saya percaya bahawa keputusan tersebut dibuat dengan tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan risiko yang sewajarnya kerana ia mempunyai kemungkinan untuk menggagalkan kerja baik dan kerja keras bagi mereka yang mematuhi perintah PKP selama beberapa minggu terakhir ini,” katanya.
Beliau yang telah menerima banyak maklum balas terutama kalangan rakan-rakan yang beragama Islam, memberitahu kebanyakan mereka kurang bersetuju dengan keputusan tersebut kerana dapat membeli juadah berbuka puasa atau sahur lebih awal dan tidak perlu diberi peluang sehingga ke jam 10.00 malam.
“Keputusan ini juga secara mungkin membuka rumah orang kepada orang luar yang mungkin menjadi pembawa virus tanpa menyedarinya terutama untuk pesakit tanpa gejala. Ini juga dapat mendorong berada lebih lama di luar atau perjalanan yang tidak perlu pada larut malam walaupun kita masih belum keluar dari kampung.
“Pada masa ini kes-kes (positif Covid-19) terutama di Kuching masih tinggi dan angka kematian serta statistik lain masih membimbangkan.
“Penguatkuasaan yang betul untuk memastikan kepatuhan juga akan sukar kerana bagaimana kita mengharapkan mereka memantau setiap kawasan perumahan untuk memastikan kepatuhan kepada PKP? Selain itu, kita kini mengharapkan pegawai penguat kuasa memanjangkan perkhidmatan mereka selama tiga jam setiap hari ketika mereka berdepan dengan cabaran ketika ini,” katanya.
Sehingga kerajaan mampu mengekang penularan virus Covid-19 dengan lebih efektif, termasuk memperhebatkan usaha untuk mengenal pasti dan menguji hubungan rapat sehingga lebih 2,000 orang di tiga kluster di Kuching, dan juga untuk meningkatkan kemampuan saringan.
“Barulah kita dapat mempertimbangkan ‘strategi keluar’ atau merancang untuk melonggarkan sekatan di bawah PKP,” tegasnya.
Kerajaan katanya, harus menjadikan kes dibeberapa negara luar seperti Singapura dan di Hokkaido sebagai pengajaran.
“Hokkaido pernah dilihat sebagai kisah kejayaan … wilayah yang berfungsi untuk menahan, mengesan dan mengasingkan virus … yang menyebabkan penurunan jumlah kes yang besar. Tetapi Hokkaido kembali menjadi perhatian kerana ia berjuang untuk menangani gelombang jangkitan kedua,” ujarnya.
Pada akhir Februari lalu, Hokkaido menjadi tempat pertama di Jepun yang mengisytiharkan keadaan darurat kerana Covid-19.
Dasar ini berjaya dan pada pertengahan bulan Mac jumlah kes baharu menurun kepada satu atau dua hari.
“Pada 19 Mac, keadaan darurat dihentikan, dan pada awal April, sekolah dibuka semula. Tetapi, sekarang, hanya 26 hari setelah keadaan darurat dihentikan, kini tindakan kawalan baharu mungkin dilaksanakan.
“Itulah sebabnya saya berharap Kerajaan Negeri untuk mempertimbangkan semula arahan ini,” tegasnya.