Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tragedi menyayat hati Kapal Pulau Kidjang
  • KOLUMNIS

Tragedi menyayat hati Kapal Pulau Kidjang

Utusan Sarawak 7 hours ago

SALAH satu sejarah terukir pada bulan ini adalah tragedi karamnya sebuah kapal bernama Kapal Pulau Kidjang. Ramai generasi muda hari ini tidak kenal akan tragedi tersebut berlaku.

Kejadian yang berlaku pada 27 Disember 1973 itu satu kejadian yang membawa angka korban yang besar.  Secara peribadi ayah saya merupakan salah seorang anggota penyelamat untuk membantu mangsa-mangsa yang karam.  

Beliau banyak juga bercerita bagaimana pasukan penyelamat melakukan usaha menyelamat mangsa kapal karam tersebut.

Cuaca

Kejadian karamnya kapal tersebut berlaku ketika cuaca kurang elok. Satu kebiasaan pada hujung tahun berlakunya hujang lebat dan angin kencang melanda negeri Sarawak. 

KAPAL Pulau Kidjang.

Kebiasannya ia membawa banjir di kawasan-kawasan rendah. Hujan lebat dan angin kencang juga membawa kepada laut bergelora. Pada peringkat awal, pengangkutan air merupakan antara sistem pengangkutan utama di Sarawak. 

Oleh itu, industri bot-bot express muncul dengan pesatnya untuk memberi khidmat kepada penumpang dan juga membawa barang.

Kemalangan yang berlaku ke atas Kapal Pulau Kidjang ini merupakan kemalangan paling buruk dalam sejarah pengangkutan air di Sarawak. Kapal ini dimiliki oleh Central Shipping Sdn. Bhd yang menjalankan khidmatnya untuk penumpang dan kargo bagi laluan Kuching-Sarikei-Sibu.

Malam

Pada hari kejadian, Kapal Pulau Kidjang seberat 227 tan sedang berlayar menerusi laluan biasanya, dan apabila menghampiri Kuala Rajang, kapal ini telah menghantar isyarat kecemasan. 

Ketika itu, angin kencang beserta laut bergelora menyebabkan kapal tersebut gagal dikawal dan karam apabila menghampiri Tanjung Jerijih, Sarikei.

Kejadian karamnya kapal itu berlaku pada waktu malam. Berita mengenai kejadian tersebut mula tersebar di sebelah pagi keesokan harinya. 

Ketua Menteri ketika itu, Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’akub yang menerima berita tersebut menyatakan bahawa kapal itu membawa penumpang seramai 85 orang termasuk kelasi kapal.

JANAAN AI semata-mata.

Ketika laporan awal itu, Abdul Rahman Ya’akub mengatakan bahawa kebimbangan tentang 47 orang dikhuatiri mati lemas. Beliau juga memaklumkan bahawa 38 orang berjaya diselamatkan.

Namun demikian, buku tulisan Aini Selikang menyatakan bahawa kapal tersebut membawa seramai 140 orang. Laporan akhbar lain pula melaporkan penumpang kapal tersebut adalah 153 orang dan tiga anak kapal.

Namun demikian laporan Sarawak Gazette menyatakan setakat 29 Disember 1973, seramai 40 orang telah diselamatkan termasuk 20 kakitangan kapal tersebut.  Ini menunjukkan bilangan anak kapal adalah melebihi tiga orang.

Laporan akhbar lain pula menyatakan bahawa penumpang yang dibawa adalah seramai 154 orang, manakala kelasi kapal pula seramai 34 orang.

Serentak dengan itu, Abdul Rahman Ya’akub telah mengarahkan semua kapal yang akan berlayar supaya menghentikan operasi sehingga diberi arahan selanjutnya.

Arahan ini dikeluarkan berikutan amaran bahawa ribut tropika dari arah Barat Laut dijangka melanda kawasan pesisir pantai Sarawak.

Biro Cuaca mengatakan bahawa keadaan cuaca buruk akan terus melanda Sarawak dalam tempoh 48 jam. Situasi ini menghalang pasukan keselamatan daripada menjalankan usaha menyelamat secara menyeluruh ke atas mangsa-mangsa kapal tersebut.

Di samping itu, Abdul Rahman Ya’akub mengumumkan 30 Disember 1973 sebagai hari berkabung sebagai simbol penghormatan dan ingatan terhadap tragedi kapal karam itu.

Sementara itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak telah mengemukakan petisyen bagi meminta Abdul Rahman Ya’akub menjalankan siasatan terhadap tragedi berkenaan.

Jumlah

Laporan akhbar pada Januari 1974 pula melaporkan bahawa bilangan kematian meningkat kepada 84, manakala jumlah yang selamat pula adalah 42 orang.

Sebahagian besar mangsa yang terselamat dilaporkan hanyut terapung-apung sambil bergayut pada serpihan papan, manakala ada juga yang sempat memperoleh alat pengapung sebagai usaha menyelamatkan diri.

Pada masa sama, bot-bot ronda polis serta sebuah kapal milik kilang papan telah menjalankan usaha menyelamatkan mangsa yang hanyut terapung.

Kemudian, pada awal 1974, seramai lapan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia telah dikerah untuk melaksanakan operasi mencari mayat mangsa tragedi Kapal Pulau Kidjang.

Operasi mencari mayat yang terperangkap di dalam kapal tersebut dikenali sebagai Operasi Pantu. Penyelam-penyelam ini diketuai oleh Lt. Cdr Chang Chee Cheong.  Dua penyelamat hampir dihanyut oleh arus deras semasa menyelamat.  Kedua-dua mereka kehilangan alat penyelamat.

Tabung

Selain itu, satu inisiatif kutipan derma telah dilancarkan oleh kerajaan negeri Sarawak bagi membantu mangsa tragedi tersebut. Pada penghujung 1973, jumlah kutipan mencecah sekitar $11,800, manakala sehingga awal Januari 1974 jumlah terkumpul meningkat kepada $101,348.86 melalui Tabung Tragedi Pulau Kidjang.

Antara yang memberi sumbang datang daripada pembaca surat khabar Vanguard ($1,156) dan Majlis Bandaran Kuching ($2,000). 

Penjual sayur, ikan dan daging di Kuching pula menderma sebanyak $252. Jumlah didermakan oleh Kuching Karate Association pula berjumlah $100. Mukah Sawmill pula menderma sebanyak $3,000. Derma juga datang daripada orang perseorangan.

Jumlah dana untuk tabung tersebut terus meningkat pada pertengahan Januari 1974 dengan jumlah $146,000. Antara penyumbang kepada tabung itu datangnya dari Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri Pulau Pinang menderma sebanyak $5,000 kepada tabung tersebut.

Setakat 21 Februari 1974 jumlah derma kepada tabung tersebut meningkat kepada kira-kira $176,000. Derma-derma ini datang dari Abok Sawmill dan pekerjanya. Sebanyak $462.30 pula disumbang oleh kakitangan Pejabat Penjara.

Pada masa sama, Kementerian Kebajikan telah membantu keluarga mangsa dengan bantuan kewangan untuk proses pengebumian mangsa tragedi tersebut. 

Setakat 4 Januari 1974 terdapat 48 mayat telah dijumpai. Hanya 32 mayat telah dikenal pasti. Selebihnya mayat yang tidak dikenal pasti kerana telah mereput. Mayat-mayat ini kemudiannya dikebumikan di Sarikei.

Walaupun telah berlalu lama tetapi tragedi ini menginggatkan kita tentang kesukaran masyarakat dahulu menempuh cabaran yang di luar dugaan. 

Agar sejarah tragedi ini menjadi kita lebih tabah dan sedar akan kepentingan untuk berwaspada dan menjaga keselamatan diri daripada sebarang kejadian buruk.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Kru darat penerbangan, wira tidak didendang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.