
KUCHING: Operasi syarikat penerbangan baharu Sarawak, AirBorneo, dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri secara berperingkat dan bukan secara mendadak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, bagi tempoh awal bermula Januari hingga Julai, AirBorneo akan menggunakan pesawat bersaiz kecil yang berfungsi sebagai kesinambungan kepada perkhidmatan Penerbangan Luar Bandar (RAS) yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings dengan sokongan subsidi Kerajaan Persekutuan.
“Dalam tempoh ini, kita tidak boleh menjangkakan lonjakan besar. Ia adalah fasa permulaan dan kesinambungan perkhidmatan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian demikian ketika ditemui media pada upacara raptai penuh Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Tebingan Sungai Kuching, malam ini.
Menurut beliau, selepas Julai, AirBorneo dijangka mula mengatur penggunaan pesawat jet bagi penerbangan ke destinasi lebih jauh termasuk dalam Malaysia dan peringkat serantau.
“Ledakan sebenar tidak akan berlaku pada hari pertama. Kita perlu beri masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk melihat perkembangan destinasi besar dan impak yang lebih ketara,” katanya.
Karim berkata beliau akan menghadiri majlis pelancaran AirBorneo yang dijadualkan berlangsung pada 2 Januari depan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
Oleh Shahrul Qaizat