
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui, telah mengemukakan surat kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah bagi menggesa pembentangan segera satu kertas Kabinet untuk menangani jurang dasar dalam Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Beliau berkata isu tersebut dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lalu susulan maklum balas diterima daripada penerima yang terjejas.
“Saya telah membangkitkan jurang dasar dalam pelaksanaan SKAS di mana ramai warga emas yang layak tidak dapat mengakses bantuan akibat kekangan digital,” katanya.
Menurut Yong, surat tersebut turut menyertakan senarai nama serta maklumat penerima SKAS yang layak dan memohon agar bantuan disalurkan terus ke dalam akaun bank mereka.

“Ada warga emas yang tidak memiliki telefon pintar, tidak mampu menggunakan aplikasi mudah alih, atau mengalami masalah kesihatan kronik, terlantar dan tidak berupaya secara fizikal untuk melengkapkan proses digital,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa SKAS diwujudkan untuk membantu keperluan asas kehidupan dan tiada warga emas yang layak seharusnya dinafikan bantuan hanya kerana faktor usia, penyakit atau keterbatasan teknologi.
“Oleh itu, saya menggesa satu keputusan Kabinet kerajaan Sarawak dibuat bagi membolehkan bantuan SKAS disalurkan melalui akaun bank atau saluran lain yang sesuai tanpa bergantung kepada platform digital bagi kumpulan warga emas ini,” katanya.
Yong berkata langkah tersebut merupakan penyelesaian yang praktikal, selamat dan berperikemanusiaan serta boleh dilaksanakan menjelang pelaksanaan SKAS pada 2026.
Oleh Connie Chieng