
KUCHING: Pasukan Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak (PPSMMS) Wilayah Sri Aman mencatat kejayaan cemerlang dengan meraih dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa pada Kejohanan Jemputan Pencak Silat 2025 yang berlangsung di Bandaraya Kuching baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mengucapkan tahniah kepada seluruh atlet dan pasukan pengurusan atas pencapaian membanggakan tersebut.
Menurutnya, kemenangan ini menunjukkan semangat juang, disiplin serta komitmen tinggi para pesilat dari Sri Aman dalam mengharumkan nama daerah di peringkat negeri.

Regu Putri Remaja (Team A) dan Regu Putra Remaja masing-masing meraih pingat emas, manakala Solo Tari Senjata Putri Dewasa, Jurus Tunggal Putri Remaja dan Regu Putri Remaja membawa pulang pingat perak. Satu pingat gangsa disumbangkan oleh Jurus Tunggal Putra Remaja.
Dayang Noorazah menzahirkan penghargaan kepada jurulatih, pengurusan pasukan serta ibu bapa yang telah memberikan sokongan padu sepanjang latihan dan kejohanan berlangsung.
Beliau berkata, kejayaan ini bukan sahaja membanggakan Daerah Sri Aman, malah diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada belia tempatan untuk menceburi aktiviti sukan tradisional seperti pencak silat.

“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan belia, pertandingan serta penglibatan anak muda dalam aktiviti bermanfaat yang menyatukan masyarakat,” ujarnya.
Kejayaan PPSMMS Wilayah Sri Aman ini tambah Dayang Noorazah membuktikan bahawa dengan disiplin, latihan berterusan dan sokongan komuniti, atlet muda Sri Aman amnya mampu menonjol di pentas sukan negeri dan nasional.
Oleh Adi Safarman