TAIPING: Tiga sekeluarga melakar sejarah apabila membuat terjunan payung terjun secara solo dari pesawat jenis Cessna Caravan 208 pada ketinggian 4,500 kaki di Lapangan Terbang Tekah di sini semalam.
Pakar Neurosurgeri sebuah hospital swasta di Melaka, Dr Sani Sayuthi, 51, isterinya seorang jururawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Wan Razlila Wan Hassan, 41 dan anak mereka Izzat Izzudin, 14, adalah antara 33 peserta yang mengambil bahagian pada acara Air Strip Taiping yang diadakan sempena Bulan Kebangsaan.
Lebih membanggakan Izzat Izzudin juga muncul sebagai penerjun termuda di Asia membuat terjunan secara solo dari pesawat Cessna Caravan 208.
Dr Sani berkata, terjunan hari ini merupakan terjunan solo pertama yang dibuat bersama ahli keluarganya bagi melakar sejarah.
“Pada mulanya agak gentar kerana pertama kali membuat terjunan pada ketinggian 4,500 kaki tetapi tetap atasi kerana saya dan keluarga mahu mencuba suatu kelainan sekali dalam hidup dengan membuat terjunan solo yang mencabar ini.
“Terjunan tadi memang seronok pada kelajuan 25 kilometer (km) sejam. Syukur, kami dapat mendarat dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas membuat terjunan solo yang dikendali Raftabina Skydive Aerosport Club di Lapangan Terbang Tekah di sini.
Dr Sani berkata, untuk terjunan seterusnya mereka sekeluarga bercadang untuk melakukan terjunan di Australia atau New Zealand.
“Pemandangan dan cuaca di sana berlainan dan saya mahu melakukan terjunan di tempat yang mempunyai pemandangan yang cantik dan berbeza,” kata bapa tiga anak itu.
Sementara itu Izzat berkata, ini merupakan terjunan pertama beliau dan mengakui amat teruja dengan pencapaiannya itu.
“Saya nak buat lagi terjunan selepas ini kerana dorongan dari bapa saya yang mahu mencuba sesuatu kelainan,” katanya. – Bernama