
MIRI: Sebuah rangkaian pasar raya utama sekali lagi dikesan mencuri bekalan elektrik apabila premisnya di sini terbabit dalam sambungan haram secara terus ke talian utama, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM7,300 sebulan.
Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kes terbaharu itu merupakan kes ketiga melibatkan rangkaian pasar raya sama selepas dua insiden sebelum ini dikesan di Siburan dan Serian. Modus operandi yang digunakan juga didapati sama seperti kes terdahulu.
Kaatanya, pemeriksaan oleh Syarikat SESCO Berhad mendapati kabel elektrik telah disambung secara haram terus dari bekalan masuk utama di laluan lima kaki premis berkenaan, sebelum disorokkan di atas siling serta dilindungi dengan saluran kabel bagi mengelak dikesan.

“Dalam operasi berkenaan, pasukan pemeriksaan meter terpaksa memecahkan sebahagian siling gypsum (papan binaan ringan) untuk mendedahkan sambungan haram sebelum semua kabel tersebut ditanggalkan dan dirampas sebagai bahan bukti.
“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SEB menegaskan, walaupun tarif elektrik di Sarawak antara yang paling kompetitif di rantau ini, masih terdapat pengendali perniagaan yang mengambil jalan pintas dengan mencuri elektrik.
“Sambungan tidak sah bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berisiko tinggi menyebabkan renjatan elektrik, kebakaran, kerosakan peralatan serta kehilangan nyawa,” tegasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya akan terus mempergiat pemeriksaan terhadap rangkaian pasar raya dan premis lain yang disyaki terlibat dalam kecurian elektrik dengan pasukan pemeriksaan dilengkapi kepakaran serta peralatan bagi mengesan sambungan tersembunyi dan kompleks.
Orang ramai yang mengesyaki sebarang aktiviti kecurian elektrik diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di 1300-88-3111 atau melalui e-mel, dengan jaminan semua laporan dirahsiakan.