
KUCHING: Pertandingan ‘Namakan Ruang Kita’ dilancarkan hari ini oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) satu inisiatif penamaan awam yang mengajak masyarakat setempat mengambil bahagian secara langsung dalam membentuk identiti pembangunan mercu tanda baharu di bandar raya ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pendekatan penglibatan komuniti itu penting bagi mewujudkan rasa pemilikan dan kebanggaan dalam kalangan penduduk terhadap ruang awam yang dibangunkan.
“Projek ini bukan sekadar pembangunan infrastruktur, sebaliknya bertujuan mewujudkan ruang awam yang hidup, bermakna dan benar-benar mencerminkan identiti masyarakat setempat,” katanya pada sidang media pertandingan tersebut di sini, hari ini.
Pertandingan itu merupakan sebahagian daripada usaha MBKS untuk memastikan pembangunan ruang awam bukan sahaja memberi nilai fizikal, tetapi turut mencerminkan budaya, kreativiti dan aspirasi masyarakat Sarawak.

Menurut beliau, MBKS kini sedang menaik taraf kawasan kolam renang sedia ada kepada sebuah kompleks baharu yang merangkumi Pusat Gastronomi dan Taman Permainan Air, yang dijangka menjadi tarikan rekreasi serta pusat aktiviti komuniti untuk semua lapisan masyarakat.
Melalui pertandingan itu, orang ramai dijemput untuk mencadangkan nama yang sesuai dan bermakna bagi pelbagai ruang dalam kompleks berkenaan, termasuk keseluruhan pembangunan, Taman Permainan Air, kawasan makan dan minum, laluan runcit, dewan pameran, ruang kerja bersama serta dewan serbaguna.
Dato Wee menjelaskan bahawa setiap nama yang dipilih akan menjadi sebahagian daripada identiti dan kisah pembangunan tersebut untuk jangka masa panjang, sekali gus mencerminkan nilai serta warisan tempatan yang ingin diketengahkan.
Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Sarawak dan penyertaan adalah percuma. Katanya, MBKS percaya ruang awam wajar membawa nama yang dekat di hati masyarakat, dan inisiatif ini memberi peluang kepada orang ramai menyumbang idea yang meraikan identiti tempatan serta rasa kebersamaan.
Bagi menggalakkan penyertaan, MBKS menawarkan hadiah menarik dengan hadiah utama berjumlah RM3,000, diikuti hadiah kedua RM2,000, hadiah ketiga RM1,000 serta lima hadiah saguhati bernilai RM500 setiap satu.
Penyertaan yang menang akan dinilai berdasarkan kesesuaian, keaslian dan kaitan nama yang dicadangkan dengan karakter setiap ruang.

Maklumat terperinci mengenai kelayakan, syarat penyertaan dan peraturan pertandingan boleh dirujuk dalam Terma dan Syarat rasmi yang disediakan.
Borang penyertaan boleh diperoleh melalui laman web MBKS atau di lobi MBKS, manakala penghantaran boleh dibuat melalui e-mel atau secara serahan tangan sepanjang tempoh pertandingan.
Dato Wee turut memaklumkan bahawa projek Pusat Gastronomi dan Taman Permainan Air itu kini telah mencapai lebih 60 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026.
Beliau menambah bahawa semua cadangan nama boleh dikemukakan dalam mana-mana bahasa yang diiktiraf dan akan diterjemahkan oleh pihak MBKS jika perlu.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif itu mencerminkan komitmen MBKS terhadap penglibatan komuniti dan pembangunan bandar secara bersama, selain menggalakkan rasa bangga dan pemilikan dalam kalangan penduduk.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak media atas sokongan berterusan dan mengajak orang ramai membantu menyebarkan maklumat mengenai pertandingan tersebut agar lebih ramai rakyat Sarawak dapat mengambil bahagian.
Oleh Adele Rissa