KUALA LUMPUR: Sempena meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-63 baru-baru ini, veteran perang Ujang Mormin yang bakal menginjak usia ke-100 pada tahun depan, mengimbau kembali memori yang masih tersisa mengenai peranannya ketika menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia II.
Ujang, 99, yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan, yang kini menghadapi masalah ingatan dan pendengaran, menceritakan pengalamannya ketika beliau bertempur dengan wira perang legenda, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi di Pasir Panjang, ketika tentera Jepun menyusup masuk ke Singapura.
Dalam keadaan yang semakin uzur, beliau yang mesra dipanggil ‘Tok Ujang’ terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sejak 2015 yang mendapat penjagaan rapi para doktor dan jururawat. Pada usia 95 tahun, veteran perang ini masih mampu memandu kereta namun selepas kesihatannya semakin merosot, hospital adalah kediamannya kerana tidak mempunyai keluarga.
Ujang yang berkhidmat sebagai prebet dengan Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) setelah bergabung dengan Tentera British pada 1939, menjalani latihan asas sehingga 1941 dan pada tahun yang sama dikerah ke Gap Ridge, di Singapura.
Gap Ridge merupakan kubu tentera British yang terakhir sebelum British berundur dan tentera Jepun memasuki Tanah Melayu dari utara pada tahun 1942 dan Ujang yang ketika itu berusia 21 tahun merupakan antara segelintir askar 1 RAMD yang terselamat dalam pertempuran di Pasir Panjang.
Apabila ditanya mengenai pertempuran di Pasir Panjang, beliau dengan suara yang lemah berkata, selama berhari-hari rejimennya bertempur melawan kemaraan tentera Jepun.
Katanya dia merangkak melalui parit pelindung dan melompat ke dalam lubang (kubu). Bagaimanapun, mereka terpaksa berundur ke dalam hutan selepas putus bekalan makanan dan air serta mendapat berita Leftenan Adnan telah terbunuh.
“Pegawai Inggeris memberitahu kami ia telah berakhir dan memerintahkan kami untuk mengumpulkan semua senjata yang kami ada dan sandarkannya pada sebatang pokok. Katanya kami bebas untuk memilih haluan kami atau mengikutinya untuk menyerah diri kepada tentera Jepun.
“Sudah pasti tidak seorang pun yang ingin mengikutinya, kami lebih rela untuk mencari jalan pulang. Saya dan tujuh yang lain mencari pakaian awam untuk diganti kerana kami hanya mempunyai pakaian seragam yang menjadikan kami sasaran mudah tentera Jepun,” katanya kepada pemberita dalam temu bual di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan baru-baru ini.
Dalam kegelapan malam, mereka menemukan sebuah rumah tinggal dan mereka jadikan tempat berlindung dan turut menemukan pakaian di rumah itu. Beberapa keluarga Melayu yang tinggal di kawasan berhampiran yang mengetahui mengenai kehadiran mereka di situ, memberi bantuan makanan dan air selama mereka tinggal di sana.
Setelah beberapa hari berlalu, seorang demi seorang membawa hala tuju masing-masing dan Ujang bernasib baik kerana bertemu dengan keluarga Melayu di Jalan Serangoon di Singapura, yang membawanya semasa kemuncak pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Selepas dua bulan bersembunyi, Ujang kembali ke kampung halamannya di Rembau selepas keluarga angkatnya memberikan dia sedikit wang dan pas yang mengatakan dia saudara kepada keluarga di Singapura itu.
Beliau berjaya menaiki kereta api kargo dan tiba di Rembau dua hari kemudian dan selamat tiba di kampungnya menaiki kereta milik seorang penduduk tempatan selepas membayar upah RM20 dan berjaya mengelak rondaan tentera Jepun.
“Sebaik tiba di Kampung Kundur, saya terkejut lihat ramai saudara mara dan rakan yang datang menyambut saya di rumah, ia seperti pesta, dan sebaik melihat wajah ibu dan bapa, saya terus memeluk mereka dan menangis, ia adalah suatu yang saya ingat hingga ke hari ini,” katanya dengan mata yang berlinang.
Selepas itu, Ujang mengahwini tunangnya yang berasal dari kampung yang sama bernama Che Nah Bahauddin yang kini telah meninggal dunia dan mereka mempunyai dua anak perempuan yang juga telah meninggal dunia dan seorang anak lelaki yang gagal dikesan sehingga sekarang. Namun pihak tentera masih terus berusaha mengesan keluarganya yang masih hidup.
Selepas berakhirnya perang pada 1945, beliau melapor diri di Ibu Pejabat Tentera British di Port Dickson, Negeri Sembilan dan kembali menyertai Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja sehingga tamat perkhidmatan pada Februari 1947 dan kemudian bertugas sebagai warden penjara sehingga bersara.
Walaupun menghadapi masalah ingatan, namun banyak maklumat yang diberikan oleh Ujang telah direkod lebih awal oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dikongsikan kepada penulis.
Perjuangan Ujang menjaga kedaulatan negara sentiasa dihargai dan beliau antara penerima pingat terbanyak termasuk The Pacific Star dan Pingat Jasa Malaysia. – Bernama