
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi dalam dagangan awal hari ini, menjejaki prestasi Wall Street minggu lepas walaupun sentimen global yang perlahan berikutan musim cuti.
Pada jam 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.28 mata atau 0.2 peratus kepada 1,680.38 daripada 1,677.10 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks penanda aras itu dibuka tinggi 0.15 mata kepada 1,677.31.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 134 berbanding 133 manakala 302 kaunter tidak berubah, 2,164 tidak diniagakan dan 58 lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 67.16 juta unit bernilai RM33.36 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dagangan di Wall Street sebahagian besarnya hambar pada Jumaat lalu disebabkan oleh musim cuti.
Di peringkat tempatan, beliau berkata Bursa Malaysia juga dijangka lengang hari ini memandangkan peserta pasaran sedang menunggu pemangkin baharu.
“Kami menjangkakan dagangan akan kekal lengang, bagaimanapun disokong dengan baik dengan indeks dijangka diniagakan dalam julat 1,670–1,685 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB menambah empat sen masing-masing kepada RM10.44 dan RM8.19, manakala Public Bank, Tenaga Nasional dan IHH tidak berubah masing-masing pada RM4.52, RM13.66 dan RM8.59.
Bagi saham aktif, TWL dan Velesto tidak berubah masing-masing pada 2.5 sen dan 28 sen, VS Industry meningkat setengah sen kepada 48 sen, manakala Pharmaniaga turun 0.5 sen kepada 29.5 sen.
Antara saham paling untung, Malayan Cement menambah 10 sen kepada RM7.73, Hong Leong Bank melonjak lapan sen kepada RM22.50, Press Metal naik tujuh sen kepada RM7.25 dan Hong Leong Financial menokok enam sen kepada RM19.10.
Saham paling rugi menyaksikan Allianz turun 14 sen kepada RM20.20, Telekom Malaysia dan Hong Leong Industries menguncup enam sen masing-masing kepada RM8.01 dan RM16.50 dan H&L High-Tech merosot 4.5 sen kepada 60 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 19.86 mata kepada 12,308.00 dan Indeks FBMT 100 mengukuh 21.21 mata kepada 12,111.88 manakala Indeks FBM Shariah naik 16.40 mata kepada 12,122.01.
Indeks FBM 70 menokok 18.37 mata kepada 16,820.94 dan Indeks FBM ACE naik 2.73 mata kepada 4,862.52.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 43.77 mata kepada 19,672.15, Indeks Tenaga meningkat 1.29 mata kepada 767.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.62 mata kepada 174.65 manakala Indeks Perladangan susut 1.24 mata kepada 8,298.28.
-BERNAMA