
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong dan Sibujaya menggesa kerajaan Sarawak mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada doktor dari Semenanjung Malaysia dan Sabah yang berkhidmat di negeri ini, termasuk anak Sarawak yang pulang menyumbang kepakaran di tanah air sendiri.
Naib Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Dr Wong Chya Wei berkata cadangan itu penting bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Menurut beliau, faktor geografi yang luas, infrastruktur terhad serta cabaran logistik menjadikan Sarawak berdepan kesukaran untuk menarik dan mengekalkan tenaga perubatan, berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Wilayah seperti Kapit dan kawasan pedalaman lain amat bergantung kepada komitmen doktor yang sanggup berkorban berkhidmat jauh dari kemudahan asas dan keluarga.
“Oleh itu, usaha menarik serta menghargai doktor yang berkhidmat di Sarawak perlu diberi perhatian serius,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dr Wong turut menyuarakan bantahan terhadap keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menarik balik elaun kepada petugas perubatan di Sabah dan Sarawak, sambil menegaskan elaun tersebut bukan satu keistimewaan, sebaliknya pampasan wajar terhadap cabaran unik perkhidmatan di Malaysia Timur.
Beliau berkata pegawai perubatan di Sabah dan Sarawak berdepan pelbagai kekangan termasuk lokasi terpencil, kos sara hidup lebih tinggi di kawasan tertentu, kemudahan terhad serta tempoh pemisahan panjang daripada keluarga, terutamanya bagi mereka dari luar negeri.
Menurut beliau, Hospital Sibu ketika ini mempunyai lebih 300 doktor dalam pelbagai disiplin, dengan sekitar tiga perempat daripada pakar dan hampir 60 peratus pegawai perubatan berasal dari luar Sarawak.
“Sekiranya golongan ini memilih untuk meninggalkan Sarawak, kesannya akan dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya dari segi akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Sehubungan itu, SUPP Dudong dan Sibujaya menggesa KKM serta Kerajaan Persekutuan menilai semula keputusan tersebut, mengadakan dialog bersama wakil profesional perubatan di Sabah dan Sarawak, serta merangka struktur insentif yang adil dan mampan bagi wilayah Malaysia Timur.
Dalam pada itu, Dr Wong turut mencadangkan kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada doktor anak Sarawak yang pulang berkhidmat, memandangkan mereka ketika ini tidak layak menerima elaun Persekutuan kerana dianggap bertugas di negeri sendiri.
“Jika Kerajaan Persekutuan boleh menyediakan insentif untuk menarik doktor ke Sarawak, tidak mustahil kerajaan Sarawak juga dapat mempertimbangkan langkah serupa demi kepentingan rakyat negeri ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting