
KUCHING: Lebih 60 peratus daripada 209 unit Rumah Sungai Bedaun, yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) kini telah didiami, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap projek perumahan mampu milik yang dilaksanakan kerajaan Sarawak.
Pengurus Kanan Korporat LCDA, Saiful Bahari Amra Ramly berkata projek fasa pertama itu memberi peluang kepada ketua keluarga tambahan dari perkampungan Seberang Hilir untuk memiliki rumah sendiri dengan hampir keseluruhan unit kini telah berpenghuni.
“Untuk fasa pertama, sebanyak 209 unit rumah telah disediakan dan kebanyakannya telah pun didiami. Ini menunjukkan keperluan sebenar terhadap perumahan di kawasan pembangunan baharu seperti Sungai Berdaun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Fiesta Boling LCDA Bersama Media di Megalanes Emart Batu Kawa, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan LCDA merancang pelaksanaan fasa kedua projek berkenaan pada tahun hadapan, yang dijangka melibatkan sekitar 208 unit tambahan tertakluk kepada keadaan dan kelulusan semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, wakil Pengurus Besar LCDA, Zuraimy Kusyaili berkata penganjuran program sukan boling bersama rakan media adalah platform santai bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara pegawai LCDA dan pengamal media.

Menurutnya, program berkenaan menghimpunkan sekitar 70 hingga 80 peserta, dengan hampir separuh terdiri daripada wakil media termasuk Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching( KDJA), TVS serta beberapa organisasi media lain.
“Kita amat memerlukan kerjasama erat rakan-rakan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan cepat kepada orang awam, lebih-lebih lagi dalam era maklumat yang bergerak pantas ketika ini,” katanya.
“Hubungan baik dengan media penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat, selain memastikan setiap inisiatif dan projek pembangunan kerajaan negeri difahami dengan jelas oleh rakyat,” jelasnya.
Mengulas peranan LCDA, beliau berkata agensi itu terus diamanahkan kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan tanah dan perumahan termasuk di Sungai Bedaun, Darul Hana, selain projek pembangunan semula di Sebuyau, Padang Kerbau (Miri) serta beberapa projek lain di Gedong dan Lawas.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, LCDA akan terus memainkan peranan aktif menyediakan rumah mampu milik yang lengkap dengan utiliti dan infrastruktur, dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Mutiara Mortgage.
“Keupayaan LCDA memiliki kilang Sistem Binaan Berindustri (IBS) sendiri membolehkan pembinaan rumah dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperluas pemilikan rumah menjelang 2030,” ujarnya.
Oleh Shahrul Qaizat