ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak giat melakukan operasi sanitasi di beberapa lokasi rumah ibadat sekitar Kuching, semalam.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Negeri Tiong Ling Hii ,pasukan bomba telah memulakan operasi di BEM (SIB) The Way Church bermula sekitar 9.00 pagi.
“Kerja-kerja sanitasi dilakukan di dalam dan di luar premis berkeluasan 1200 meter persegi itu dengan kekuatan 10 anggota Bomba
“Operasi juga dilakukan di Gereja St Basil, Jalan Batu Kawa dengan keluasan 1500 meter persegi, yang dilakukan oleh 7 anggota Bomba dan 6 kakitangan Majlis Perbandaran Padawan (MPP),” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menambah Terminal Taman Negara Bako dengan keluasan 631 meter persegi serta ibu pejabat Taman Negara Bako turut disanitasi oleh Bomba dan dibantu oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Wisma Hopoh (5600m2),Surau Darul Hajat, Kpg Tabuan Hilir (222.97m2), Masjid Darus Sa’adah, Kpg Tabuan Melayu (1085.14m2), Surau Darul Salihin, Kpg Tabuan Tengah (345.96m2), Surau Darus Salam, Kpg Tabuan Lot (2502.97m2) dan Surau Darul Hasanah, Kpg Tabuan Dani (619.87m2) merupakan lokasi kerja-kerja sanitasi yang lain
“Kita juga mengadakan sanitasi di Pusat Penjara Puncak Borneo dengan keluasan 1358 meter persegi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Siburan.
“Kerja-kerja sanitasi juga dilakukan di luar dan dalam premis Matang Mall,” ujarnya.
Beliau berkata sejak 30 Mac lalu, jumlah keseluruhan lokasi yang telah disanitasi ialah sebanyak 343 di seluruh negeri
Tambahnya, di Kuching sahaja sebanyak 112 premis yang telah disanitasi, diikuti Miri (73), Bintulu (30), Limbang (29), Sarikei (24), Kota Samarahan (24), Kapit (14), Sri Aman (13), Sibu (13), Betong (lapan) dan tiga di Serian.