Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak Energy capai hampir 250,000 pokok ditanam menerusi kempen pemulihan habitat
  • TEMPATAN

Sarawak Energy capai hampir 250,000 pokok ditanam menerusi kempen pemulihan habitat

Utusan Sarawak 8 hours ago
WARGA Sarawak Energy menyertai aktiviti penanaman pokok di salah satu lokasi program pemulihan habitat bagi menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar dan agenda hijau Sarawak.

KUCHING: Sarawak Energy terus memperkukuh komitmen terhadap agenda hijau negeri menerusi Kempen Penanaman, Perlindungan Pokok dan Pemulihan Habitat 2021–2030, dengan sasaran menanam 500,000 pokok dalam tempoh 10 tahun.

Pada 2025 sahaja, lebih 58,687 pokok berjaya ditanam menjadikan jumlah kumulatif melebihi 247,355 pokok sejak kempen itu dilancarkan pada 2021. 

Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memulihara alam sekitar secara berperingkat, terancang dan mampan.

Menurut Sarawak Energy, inisiatif berkenaan bukan sekadar penanaman pokok semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pemulihan habitat yang bersesuaian dengan keadaan setempat bagi memastikan manfaat ekologi jangka panjang termasuk perlindungan biodiversiti, pemulihan landskap terdegradasi serta pengurusan tanah yang lestari di kawasan operasi syarikat.

WARGA Sarawak Energy menyertai aktiviti penanaman pokok di salah satu lokasi program pemulihan habitat bagi menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar dan agenda hijau Sarawak.

Aktiviti penanaman pokok sepanjang 2025 dilaksanakan di beberapa lokasi utama termasuk Loji Hidroelektrik Batang Ai, Murum, Kapit, kawasan hutan dan rizab alam semula jadi terpilih di seluruh Sarawak, Taman Perindustrian Samalaju serta kawasan komuniti yang dikenal pasti untuk tujuan pemulihan. 

Pemilihan lokasi dibuat melalui rundingan bersama rakan strategik bagi menyokong pemulihan habitat secara berterusan.

Kempen tersebut turut disokong oleh penyertaan aktif warga kerja Sarawak Energy di seluruh negeri, mencerminkan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar. 

Selain itu, rakan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan agensi tempatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran pemuliharaan serta menyokong usaha pemulihan jangka panjang di kawasan masing-masing.

Sarawak Energy juga mengutamakan penanaman spesies tempatan yang sesuai dengan kondisi setempat bagi menyokong ekosistem yang lebih sihat, meningkatkan kestabilan tanah serta menggalakkan kepulangan hidupan liar secara berperingkat. 

WARGA Sarawak Energy menyertai aktiviti penanaman pokok di salah satu lokasi program pemulihan habitat bagi menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar dan agenda hijau Sarawak.

Semua kawasan penanaman dipantau secara berkala melalui penilaian tapak bersama rakan tempatan dan komuniti bagi menilai pertumbuhan, kadar kelangsungan hidup serta keberkesanan pemulihan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Dato James Ung, berkata program berkenaan mencerminkan tanggungjawab Sarawak Energy untuk memberi sumbangan positif kepada alam sekitar dan komuniti yang dilayani syarikat itu.

“Penanaman pokok bukan sekadar inisiatif alam sekitar. Ia menyokong kesihatan ekosistem, meningkatkan kualiti persekitaran dan memperkukuh daya tahan komuniti. Kami percaya pembangunan dan perlindungan alam sekitar perlu bergerak seiring, dan program ini merupakan sebahagian daripada usaha pelaburan sosial Sarawak Energy,” katanya.

Beliau menambah, Sarawak Energy akan terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, komuniti tempatan, sekolah serta rakan alam sekitar bagi mencapai sasaran 500,000 pokok menjelang 2030.

“Kami mahu memastikan setiap usaha penanaman menyumbang secara bermakna kepada pemulihan jangka panjang. Sasaran 500,000 pokok bukan sekadar angka, tetapi komitmen untuk memulihkan habitat secara bertanggungjawab, memperkukuh daya tahan iklim dan memberi nilai alam sekitar yang berkekalan kepada Sarawak,” ujarnya.

WARGA Sarawak Energy menyertai aktiviti penanaman pokok di salah satu lokasi program pemulihan habitat bagi menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar dan agenda hijau Sarawak.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Sarawak Energy, Marconi Madai, berkata pelaksanaan program sentiasa berteraskan prinsip tanggungjawab dan kesesuaian ekologi.

“Keutamaan kami bukan hanya menanam pokok, tetapi memastikan spesies yang betul ditanam di lokasi yang sesuai. Proses pemulihan mengambil masa yang panjang dan memerlukan pemantauan berterusan bersama rakan pelaksana bagi menangani cabaran di lapangan,” katanya.

Dengan pemantauan berterusan dan langkah pemulihan jangka panjang yang sistematik, Sarawak Energy kekal komited memastikan setiap pokok yang ditanam memberi sumbangan nyata kepada hasil ekologi, selaras dengan sasaran 500,000 pokok menjelang 2030.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Hospital Umum Sarawak cari waris lelaki warga emas Phan Kah Shing
Next: Jambatan konkrit Batang Ai buka akses baharu penduduk Engkelili

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.