
BINTULU: Lelaki berusia 28 tahun yang dilaporkan hilang ketika mengutip buah durian di kawasan hutan berhampiran Sungai Seda Tubau ditemui selamat pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.09 petang semalam.
Menurut kenyataan itu, mangsa yang dikenali dengan nama panggilan Tuan dilaporkan keluar mengutip durian bersama seorang rakan pada Selasa lalu di kebun yang terletak kira-kira tiga minit perjalanan menggunakan perahu dan 25 minit berjalan kaki dari tebing sungai.
“Sekitar 12.30 tengah hari, mangsa memaklumkan hasrat untuk pulang lebih awal ke pondok durian, manakala rakannya meneruskan aktiviti mengutip buah. Namun, apabila rakannya pulang ke pondok selepas selesai mengutip durian, mangsa didapati tidak berada di situ,” katanya.
Usaha pencarian awal oleh rakan, penduduk kampung dan ahli keluarga mangsa dijalankan pada hari sama namun tidak berhasil sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Tubau pada keesokan harinya bagi mendapatkan bantuan agensi penyelamat.
Operasi SAR melibatkan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu itu bermula seawal 7.00 pagi.
Mangsa akhirnya ditemui selamat pada 9.15 pagi oleh pihak kem pembalakan kira-kira 10 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sebelum dibawa menggunakan bot dan diserahkan kepada pihak polis.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Tubau untuk pemeriksaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.