Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Adakan ‘Op Remove’ di setiap daerah; buka kilang produk buaya
  • KOLUMNIS

Adakan ‘Op Remove’ di setiap daerah; buka kilang produk buaya

Utusan Sarawak 12 hours ago

USAHA bersepadu agensi keselamatan dan penguatkuasaan kerajaan serta komuniti setempat dalam Operasi ‘Op Remove’ bagi mengurangkan populasi buaya di Batang Krian, Saratok amat terpuji.

Operasi yang melibatkan anggota Anggota Pertahanan Awam (APM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta anggota Jabatan Sukarelawan (RELA), berjaya menangkap 11 ekor buaya sepanjang operasi sembilan hari yang berakhir kelmarin.

Inisiatif serta idea bagi mewujudkan ‘Op Remove’ ini dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, bersama Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.

Di sungai berdekatan Siniawan, Bau minggu lalu pula seekor buaya gergasi sepanjang 4.5 meter dengan berat 450 kilogram (kg) berjaya ditangkap. Reptila itu dipindahkan dengan jayanya oleh pasukan SFC dan Sarawak Crocter.

Andai setiap daerah di kampung berdekatan sungai di seluruh negeri mengadakan ‘Op Remove” seperti dilakukan di Batang Krian, bayangkan berapa banyak buaya boleh ditangkap, sekali gus berupaya mengurangkan  jumlah populasi buaya secara drastik.

SEBANYAK 11 ekor buaya berjaya ditangkap sepanjang 10 hari ‘Op Remove’ dijalankan di sepanjang Sungai Batang Krian baru-baru ini. Foto APM Saratok

Anggaran populasi buaya di Sarawak kini ialah sekitar 25,000 ekor berdasarkan pemantauan habitat dan kajian oleh SFC. Ini termasuk buaya di lebih 4,500 kilometer (km) rangkaian sungai dan lebih 40 lembangan air di Sarawak.

Sebanyak 24,700-25,000 ekor ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding kiraan sekitar 13,500 ekor pada 2014. Entah berapa ribu ekor lagi muncul menjelang 2030.

Jumlah ini merangkumi kedua-dua spesies utama buaya di Sarawak: buaya air masin (Crocodylus porosus) dan beberapa buaya air tawar seperti gharial palsu di kawasan tertentu.

Walaupun angka ini anggaran dan berdasarkan pemerhatian, ia memberikan gambaran bahawa reptila itu kini lebih banyak berbanding dekad lalu dan menjadikan Sarawak antara kawasan dengan populasi buaya yang signifikan di Asia Tenggara.

SFC dan agensi keselamatan bersama komuniti setempat dengan sokongan wakil rakyat perlu lebih kerap mengadakan operasi menangkap buaya bukan sahaja untuk mengurangkan populasi reptila itu malah mengendurkan persepsi bahawa pihak berkuasa tidak melakukan tindakan konkrit bagi menangani isu konflik buaya-manusia.

Bayangkan ‘sumpah seranah’ nitizen setiap kali ada nyawa terkorban dibaham buaya. Takkan membiarkan sahaja 25,000 ekor buaya (angka rasmi yang diketahui) terus bermaharajalela? Perlukah sebanyak itu, atas nama melindungi hidupan liar, sedangkan dari masa kesemasa nyawa melayang?

DENGARLAH RINTIHAN RAKYAT

Dengarlah rintihan rakyat, selamilah hati dan simpati terhadap keluarga mangsa baham buaya yang berlinang air mata.

SEEKOR buaya gergasi sepanjang 4.5 meter dengan berat 450 kilogram (kg) berjaya ditangkap di Siniawan, Bau minggu lalu.

Amat kesian dengan kehidupan orang kampung di sepanjang tebingan sungai di seluruh negeri apabila tiada lagi berani pergi memancing untuk mencari rezeki seperti udang, kerana kehadiran buaya di mana-mana.

Generasi muda akhirnya sudah tidak pandai berenang seperti generasi dulu-dulu, kerana tiada siapa berani terjun, berenang dan bermain di sungai pada zaman sekarang.

Pihak kerajaan sepatutnya boleh memberi peruntukan khas untuk operasi menangkap buaya seperti juga peruntukan untuk menganjurkan regata di sungai-sungai.

Kemudian boleh fikirkan bukan sahaja tempat khas untuk menempatkan reptila yang berjaya ditangkap, malah membuka kilang pengeluar barangan kulit.

Kilang seperti ini adalah sesuatu yang amat berpotensi dan hasilnya boleh dieksport ke luar negara ketika kita sudah memiliki syarikat penerbangan sendiri – AirBorneo.

Tidak mustahil pengusaha pembuat beg tangan, kasut dan tali pinggang kulit buaya popular seperti di Milan, Itali; Perancis dan New York akan turut membeli produk ini dari Sarawak, supaya ada pilihan selain Afrika Selatan.

JANAAN AI semata-mata.

Namun, perkara ini perlu permit khas kerana buaya juga dilindungi di bawah peraturan antarabangsa melalui Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES).

Malaysia melaksanakannya melalui Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) yang mengawal perdagangan antarabangsa buaya dan spesies terancam lain. 

CITES memastikan sebarang eksport atau import buaya atau produk daripadanya mematuhi peraturan antarabangsa dan hanya dibenarkan dengan permit yang sesuai. Mintalah permit bagi tujuan eksport.

BUKA KILANG HASIL PRODUK BUAYA

Membuka kilang hiliran bagi memproses produk buaya di negeri ini bukan sahaja memberi hasil tambahan kepada kerajaan Sarawak dalam bentuk cukai, malah membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Usaha seperti ini boleh dijalankan secara usahasama agensi kerajaan dan swasta seperti Jong Crocodile farm yang ada pengalaman.

Buka ‘outlet’ menjual barangan produk buaya, sekurang-kurangnua satu lagi pusat tarikan pelancong di Bumi Kenyalang.

Jika takut buaya pupus suatu hari ini nanti, peliharalah di tempat simpanan khas… tidak perlu banyak, memadai atau hadkan kepada 2,000 ekor sahaja untuk pelihara dan tontonan generasi akan datang. Mungkin ahli keluarga yang pernah menjadi mangsa buaya tidak mahu melihat kawasan khas simpanan buaya seperti itu.

Betul, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 menetapkan perlindungan terhadap hidupan liar termasuk buaya. Di bawah ordinan ini, adalah menyalahi undang-undang untuk memburu, menangkap, membunuh, menjual atau memiliki buaya tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti SFC.

Tetapi kehadiran beribu ekor buaya, sudah banyak nyawa manusia terkorban, ketakutan orang kampung mencari rezeki di sungai, apakah tiada usaha untuk melonggarkan undang-undang yang dirangka sendiri oleh manusia ini?

Contohnya, beri sebanyak mungkin lesen memburu buaya kepada penduduk kampung dan rumah panjang tanpa banyak syarat. Beri insentif dan komisyen bila dibeli oleh kilang pengusaha barangan produk buaya.

Jangan ambil tindakan terhadap sesiapa yang menembak buaya walaupun tiada lesen dalam kes tertentu seperti ancaman ganas.

Buaya pernah mempunyai status dilindungi sepenuhnya dan kini statusnya sedikit berbeza selepas disenaraikan semula di bawah Appendix II CITIES membenarkan pengurusan penternakan dan perdagangan terhad dengan kuota dan permit yang ketat. 

Namun, undang-undang negeri (Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 tetap menjadi asas perlindungan buaya di Sarawak. Ordinan ini memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menetapkan spesies yang dilindungi, peraturan pemilikan dan penalti bagi kesalahan berkaitan hidupan liar.

Dalam kolum ini, penulis sudah mencoret empat kali isu berkaitan ancaman buaya di negeri ini terhadap manusia.

Pertama disiarkan 9 November 2023, dengan tajuk ‘Apa perlu ‘lindungi’ buaya banyak-banyak?. Kemudian pada keluaran 28 Disember 2023 dengan tajuk ‘Tunggu berapa ramai lagi jadi mangsa buaya?.

Siri ketiga siaran 25 April 2024 pula bertajuk ‘Perlu tindakan lebih tuntas kurangkan populasi buaya’ dan siri keempat pula siaran 2 Julai 2024, bertajuk ‘Mengurangkan konflik manusia-buaya.’

Ini berikutan beberapa kes serangan buaya yang mengorbankan nyawa manusia hingga pemancing dan nelayan sungai takut menjalankan aktiviti di sungai yang selama ini menjadi sumber rezeki. Ini berlaku dari semasa ke semasa.

Kepada pihak berkuasa. Fikir-fikirkanlah.

Selamat Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian di Sarawak.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Bahasa Melayu sebagai teras negara bangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.