Bangunan Bazaarnita Dalat yang sedang dalam pembinaan dan akan menempatkan usahawan wanita tempatan dijangka akan siap pada bulan Oktober tahun ini.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah hiasan dalaman utama Bazaarnita Dalat kelak menampilkan Terendak Melanau atau dikenali sebagai Tapou.
“Sebanyak 183 tapou pelbagai saiz (3 saiz) akan menghiasi bahagian siling bangunan itu kelak. Jika di Oya Square payung menjadi perhiasan dan di Bazaarnita Dalat menampilkan terendak tradisional Melanau sebagai hiasan. Kerja pembuatan tapou bermula Mac telah siap sepenuhnya pada Ogos lalu,” ujarnya.
Projek dibawah kendalian Pegawai Daerah Dalat, Kueh Lei Poh, itu ujarnya, menyaksikan penglibatan 14 wanita dari Kampung Tanam Dalat.
“Saya difahamkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak sesekali menjadi penghalang buat wanita kita untuk menghasilkan tapou, malah ia sebagai hikmah kerana mereka boleh memberi tumpuan khusus terhadap tanggungjawab yang diamanahkan itu kerana ia adalah aktiviti dalaman,” kata Fatimah lagi.
Beliau, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, berkata demikian pada sidang media yang diadakan sempena lawatannya ke tempat pembuat Tapou Melanau di sebuah rumah di Kampung Tanam Seberang pada hari Jumaat (18 September).
Pemilihan Terendak itu katanya lagi boleh memperkasakan semangat mereka berniaga di sana kelak dan seterusnya menjadikan Bazaarnita sebagai lambang kegigihan wanita tempatan dalam bidang keusahawanan.
Dia percaya ‘Tapou’ boleh mengembalikan semangat kegigihan wanita Daerah Dalat semasa zaman kegemilangam kayu balak ‘timber boom’ pada tahun 50-an hingga 80-an yang menyaksikan mereka mampu berdikari untuk menyelara keluarga walaupun ditinggalkan suami untuk berkerja di kem kayu balak untuk masa yang cukup panjang,” tambah Fatimah.
Fatimah yang memuji dan berterima kasih kepada 14 wanita terlibat dengan itu, juga teruja dengan penglibatan belia di dalam pembuatan Terendak Melanau iaitu pemuda berusia 37 tahun, Fidelis Michael Ben, yang telah menghasilkan ‘master piece’ nya tersendiri.
“Apabila siap kelak, bazaarnita itu akan menempatkan sebanyak 32 lot dan peniaga-peniaganya adalah terdiri daripada semua wanita. Dan kita akan mengkhususkan satu lot untuk mempamer atau menjual terendak ini denan satu papan tanda yang mengisahkan tentang sejarah ‘Terendak’ diletak di sana,” kata Fatimah lagi.
Selain Pegawai Daerah, juga kelihatan ialah Penghulu Rose Josaphat Jepun, Timbalan Ketua PBB Cawangan Dalat, Sait Seman, Ketua Wanita PBB Dalat, Hatiah Sepawi, Ketua Kaum Kampung Tanam Seberang, Andyson Sungking Juak.
Lawatan itu diadakan sempena dengan program Ziarah Kampung di Kampung kedua terbesar di daerah Dalat berkenaan.
Oleh Henry B Siyu