Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Perutusan: Premier Sarawak tekankan perpaduan, pembangunan dan masa depan ekonomi negeri
  • SEMASA

Perutusan: Premier Sarawak tekankan perpaduan, pembangunan dan masa depan ekonomi negeri

Utusan Sarawak 7 hours ago
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan Perutusan Krismas 2025, menekankan semangat perpaduan, keharmonian serta komitmen berterusan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan negeri dan masa depan ekonomi yang mampan demi kesejahteraan rakyat. Foto UKAS

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengucapkan Selamat Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian di Sarawak serta berharap sambutan perayaan itu membawa kedamaian dan rahmat kepada semua, khususnya masyarakat Kristian di Bumi Kenyalang.

Dalam Perutusan Krismas 2025, beliau turut mendoakan agar seluruh rakyat Sarawak sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera serta dapat menyambut perayaan tersebut bersama ahli keluarga dan sahabat handai dalam suasana penuh kasih sayang.

Menurut beliau, Hari Krismas merupakan masa terbaik untuk berkongsi kemesraan, menghayati nilai kekeluargaan serta menzahirkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaan Tuhan Yang Maha Esa.

Abang Johari berkata, Sarawak sejak sekian lama menjadi contoh negeri yang mengamalkan kehidupan harmoni dan saling menghormati walaupun rakyatnya berbeza latar belakang agama, bangsa dan budaya.

Katanya, semangat Segulai Sejalai yang dijunjung tinggi rakyat Sarawak bukan sekadar ungkapan, sebaliknya menjadi amalan hidup yang menyatukan semua sebagai sebuah keluarga besar.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Sarawak berada di landasan kukuh untuk mencapai aspirasi menjadi ekonomi ‘STAR’ di rantau ASEAN, berasaskan kekuatan sumber dan keupayaan negeri.

Dalam aspek tenaga bersih, beliau berkata Sarawak berpotensi menjadi peneraju pengeluaran tenaga hijau melalui kelebihan sistem sungai dan kapasiti hidroelektrik, termasuk pengeluaran serta eksport hidrogen hijau dan tenaga solar.

Sarawak juga dikenal pasti sebagai penyumbang kepada cadangan Grid Kuasa ASEAN serta berperanan sebagai penjana tenaga boleh diperbaharui yang menyokong aspirasi negeri menjadi ‘bateri’ kepada rantau ini.

Dalam sektor gas asli pula, beliau menjelaskan Sarawak memiliki sumber gas yang besar untuk dimanfaatkan sebagai bahan mentah industri petrokimia, disokong pembangunan infrastruktur seperti saluran paip dan terminal gas yang dijangka menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit.

Selain itu, struktur geologi Sarawak yang sesuai bagi penyimpanan karbon turut membuka peluang baharu melalui inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) sebagai sumber pendapatan baharu negeri.

Beliau menambah, industri semikonduktor turut dikenal pasti sebagai sektor berpotensi tinggi, dengan langkah strategik sedang diambil untuk meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam ekosistem tersebut.

Menyentuh Belanjawan Sarawak 2026, Abang Johari berkata Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komited terhadap pembangunan dengan peruntukan 60 hingga 70 peratus bagi perbelanjaan pembangunan, berbanding 30 hingga 40 peratus untuk perbelanjaan mengurus.

Beliau memaklumkan negeri menjangkakan hasil sebanyak RM13.1 bilion dengan perbelanjaan RM12.91 bilion, sekali gus mencatat lebihan belanjawan.

Dalam bidang infrastruktur, beliau menzahirkan rasa syukur atas peningkatan hasil negeri yang membolehkan pelaksanaan projek jalan raya berskala besar termasuk projek Miri–Marudi–Mulu–Long Panai–Long Lama (MMMLL) bernilai RM3.8 bilion.

Menurutnya, jajaran jalan sepanjang 142 kilometer itu bakal menjadi laluan kehidupan baharu yang membuka akses pembangunan kepada komuniti luar bandar yang sebelum ini bergantung kepada pengangkutan air dan udara.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan Projek Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR) Fasa 2 yang akan memperkukuh jaringan jalan raya di utara Sarawak serta menghubungkan negeri ini dengan Sabah tanpa perlu melalui Brunei.

Selain pembangunan fizikal, Abang Johari menegaskan kerajaan Sarawak turut memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan, termasuk pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bermula 2026.

Di bawah skim itu, semua anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti milik kerajaan negeri akan menikmati pendidikan percuma, melibatkan 64 program ijazah sarjana muda dengan kos RM250 juta.

Beliau berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikan pendidikan sebagai keperluan asas, di samping melahirkan tenaga kerja berpendidikan tinggi dan berdaya saing bagi memacu Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Gempa bumi bermagnitud 6.4 landa rantau Papua New Guinea
Next: Krismas: TPM Fadillah ajak rakyat terus perkukuh perpaduan, saling menghormati

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.