Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Mencari Keindahan dalam Sajak
  • WBS

Mencari Keindahan dalam Sajak

Utusan Sarawak 10 hours ago

PERJALANAN pada waktu malam memerlukan cahaya untuk kita menentukan jejak agar tidak tersadung. Cahayanya tidak perlu menyerlah seperti matahari pada siang hari.

Cukuplah sekadar percikan cahaya bulan untuk menampakkan jalan untuk melangkah dengan mudah dan jelas arah tuju kita. Dalam kesamaran malam, cahaya bulan yang sedikit itu memberi keindahan suasana.

Sehingga kita tidak merasai kesepian dan kesunyian itu. Apatah lagi kalau dimeriahkan dengan lampu neon yang berwarna-warni, sudah pasti malam menjadi begitu mengasyikkan.

Demikian juga dengan tujuan kita membaca sesebuah sajak. Kita memerlukan “cahaya” yang mampu untuk menerangi kita ketika kita menikmati keindahannya. Sama ada secara langsung atau tidak langsung. Salah satu keperluan itu ialah keindahan yang merangkumi pelbagai sisi untuk kita memahami makna tersirat dan estetika bahasanya untuk kita tafsir sebagai nilai fikir.

Kita selalu dimomokkan bahawa sastera itu indah. Bagaimana untuk memahami “indah” itu agak subjektif dan terlalu nipis untuk dimengerti. Momokan sedemikian,  bukan seperti cerita hantu yang hanya untuk menakutkan, kemudian kita mempersendakannya dalam tawa yang diada-adakan demi melenyapkan sisa-sisa kegundahan. Dalam karya sastera, keindahan memayungi nilai dan keperibadian sama ada pada karya itu sendiri atau penghasilnya, iaitu penulis.

Walaupun demikian, keindahan sering dilingkari oleh kesubjektifan. Indah bagi seseorang berbeza kerana dibauri latar belakang atau pengalaman masing-masing. Oleh yang demikian, wacana keindahan tidak pernah menemui rumusan yang paling rasional.

Mungkin ada keindahan pada maknanya. Ada juga keindahan terlakar pada gayanya. Atau ada juga tersimpul dalam pengungkapannya. Semua konsep atau konteksnya tertakluk pada kaedah penelitian dengan mencari cakupan yang paling wajar. Sebagai contoh, sesebuah sajak, asasnya ialah bahasa.

Penulis yang menguasai makna bahasa dan mempunyai kekayaan perbendaharaan kata dalam dirinya akan lebih cenderung melahirkan sajak yang menarik dan baik. Sebab, keupayaan penghasilan sehingga penciptaan sajak bermula dengan kemampuan seseorang itu memanipulasikan kata sebagai bahasa ceritanya.

Kalau tiada upaya untuk mengayakan bahasa dalam bercerita, pasti sajak yang dihasilkan tidak bersifat puitis tetapi akan muncul dengan sifat esei atau rencana yang cuba dibunga-bungai dengan mainan bahasa semata-mata.

Sajak sebenarnya hasil seni yang seharusnya mempunyai kehalusan dan keindahan yang kebiasaannya terletak pada gaya bahasa yang digunakan. Keindahan gaya bahasa itu berperanan penting dalam memikat para pembaca menikmatinya kerana bahasanya yang berbunga, mengasyikkan, hingga menusuk kalbu, membangkit rasa kasih, puitis lagi indah, cukup padat malah tepat dalam menyampaikan mesej secara berkesan dan sungguh menguja sekali gagasannya.

Ada juga gaya bahasa yang mempunyai daya tarikan dan kebolehan kreativiti yang tersendiri seperti pada bentuk ritma dan rentak rima yang bersifat begitu estetik. Unsur-unsur retorik juga digunakan bukan sahaja melunakkan bunyi kalimah yang diulangi, malah memberi penekanan kepada kehebatan makna atau mesej yang didukung kalimah-kalimah yang diulang-ulangi itu memberi kesan dan menjentik fikiran.

Ada juga keindahan pada gaya bahasa yang tersirat sindiran sinis, pedas dan tajam terhadap pelbagai isu tentang kemanusiaan, sama ada menyentuh individu, organisasi atau negara yang mampu diberi pemaknaan yang menggugah pemikiran. Oleh yang demikian, takrif sebenar keindahan terlalu luas dan mencakupi pelbagai aspek untuk diperkatakan.

Untuk memudahkan perbincangan kita tentang keindahan dalam sajak, mari kita sama-sama meneliti tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada minggu lepas.

Tiga sajak berkenaan ialah sajak berjudul “Bintang Krismas di Syurga” nukilan Olyvia Idang Anak Lanting, sajak berjudul “Bising yang Diam” nukilan Siti Nur Izzurin Roslan dan sajak berjudul “Mimpi dan Takdir” Nur Hamimi binti Hamlet.

Sajak pertama berjudul “Bintang Krismas di Syurga” berinspirasi tentang perayaan Krismas. Sajak ini secara umumnya tidak terlalu berat dengan gaya bahasa yang tersirat. Hampir semua ungkapannya agak langsung. Ini terjadi kerana penulis lebih mengutamakan penyataan isu bukan mempersoalkan isu. Mari kita sama-sama meneliti gaya bahasanya pada rangkap pertama dan kedua sajak ini;

Malam ini Krismas datang perlahan,
membawa dingin di setiap hembusan angin.
lampu berkelip di pohon cemara,
namun hatiku tetap terasa asing.

Tiada lagi suara ayah memanggil,
tiada senyum ibu menyambutku pulang.
yang tinggal hanyalah kenangan,

terkunci rapi di lipatan ruang.

Rangkap pertama tersebut, hanyalah panorama suasana yang dialami penulis kerana telah terjawab pada rangkap kedua. Soal “tetap terasa asing” kerana “tiada lagi suara ayah memanggil” dan “tiada senyum ibu” ditegaskan lagi dengan ungkapan “tinggal hanyalah kenangan”.

Barangkali ungkapan yang agak menarik ialah baris terakhir rangkap kedua “terkunci rapi di lipatan ruang”. Persoalannya, diksi “ruang” tidak memberi konotasi yang lebih “dalam” kerana terlalu subjektif berbanding dengan penggunaan diksi “sejarah” yang mungkin agak klise tetapi menampakkan kesan emosi. Perhatikan seterusnya pada rangkap ketiga dan keempat sajak ini;

Loceng gereja berdentang di kejauhan,
mengingatkan aku pada doa yang hilang.
tahun ini tiada pelukan,
hanya air mata jadi teman pulang.

Namun bintang di puncak pohon bercahaya,
seolah-olah berbisik dari syurga
:

Pada rangkap ketiga dan keempat, penulis hanya memanjangkan episod emosi tersebut dengan pengharapan. Ungkapan “tahun ini tiada pelukan” terlalu langsung, ditambah lagi dengan ungkapan “hanya air mata jadi teman pulang” seakan hanya peluahan tanpa memberi pemaknaan mencari “pengharapan dalam kesedihan itu”. Namun, penggunaan gaya dialog pada rangkap akhir agak menarik walaupun baris awal agak langsung tetapi baris akhirnya membawa falsafah rasa tersebut. Perhatikan rangkap kelimanya;

“Jangan lupakan kasih kami,

kerana cinta tidak mati selamanya”

Sajak kedua yang akan kita bincangkan berjudul “Bising yang Diam”. Pada judulnya, terbina gaya paradoks. Penggunaan diksi “yang” mungkin tidak menampakkan kesan gaya bahasa tersebut. Kalau sedikit bombastik, mungkin boleh diberi judul “Bising dalam Diam” atau lebih drastik “Bising Ditelan Diam” untuk memancing pembaca ingin mengetahui butir cerita dalam sajak berkenaan. Perhatikan rangkap demi rangkap sajak ini untuk kita teliti keindahannya;

Bayang kenangan berlegar

di pertengahan malam yang gusar

kipas tua menyapu udara

bersama bisik-bisik kekecewaan

di sela kelipan mata penatku

hujan silam tak berhenti turun

sehingga jam sayup-sayup berdenting—

mengira jarak antara dua alam ini:

aku yang sedar… atau tidur.

Rangkap pertama sajak ini berjaya membina episod cerita dengan melakukan manipulasi bahasa tentang suasana. Penggunaan ungkapan “kenangan berlegar” dikaitkan dengan “malam yang gusar” agak menarik dan memudahkan kita menjejak ceritanya.

Namun ungkapan “kipas tua menyapu udara” kurang signifikan. Berbeza kalau baris tiga dan empat disatukan ungkapannya menjadi “kipas tua membisikkan kekecewaan” pasti lebih rasional episodnya untuk dijalinkan dengan “di sela kelipan mata penatku”.

Begitu juga halnya, dengan ungkapan “hujan silam tidak berhenti turun” untuk dijalinkan dengan ungkapan “jam sayup-sayup berdenting” dan “mengira jarak antara dua alam ini” seakan menimbulkan ambiguiti yang tidak membawa gagasan serta tidak terjalin kemas apabila ungkapan “aku yang sedar…atau tidur”.

Penggunaan manipulasi sebegini memerlukan tautan awal dan akhir yang kemas dan murni, bukan hanya digunakan tanpa kesan yang mampu memberi pemahaman tentang falsafah tersebut. Perhatikan rangkap kedua sajak ini;

Walhal

malam itu hening

jendela terkatup rapat

api lilin perlahan menghilang

sudut-sudut bilik terasa menjarak

siling kaku

menelan pandanganku

fikiranku tergantung

bak debu yang enggan jatuh.

Ungkapan agak segar dan menarik ialah “sudut-sudut bilik terasa menjarak”. Ungkapan ini telah membuka bayangan suasana hanya melalui kata-kata yang dimanipulasikan. Lebih menarik tautan ungkapan “siling kaku, menelan pandanganku” pun agak segar dan mempunyai cakupan imaginasi yang radikal tetapi masih mampu diterima.

Hanya ungkapan “debu yang enggan jatuh” masih mengundang kekaburan untuk membawa gagasan ceritanya “bising  yang diam” itu. Perhatikan rangkap akhir sajak ini;

Dalam diam ini

fikiranku tetap bising—

bising yang membuatku

tidak pernah benar-benar sunyi.

Rangkap akhir ini jelas penulisnya memberitahu tentang isu “bising yang diam” itu. Bising yang dicetuskan oleh fikirannya walaupun persekitarannya sunyi. Sebenarnya, situasi sajak ini lebih sesuai kalau dibina dalam kasus monolog.

Tanda dan penanda pada situasinya sudah ada, hanya tidak terungkap dan tidak diciptakan melalui dalaman rasa batin yang lebih terkesan oleh “bising” dalam fikiran tersebut.

Sajak ketiga yang kita bincangkan ialah “Mimpi dan Takdir”. Pada judul, seakan ada perbandingan antara mimpi dan takdir. Walau agak klise penggunaannya, tapi masih juga memberi satu pertanyaan. Apakah yang dicari antara mimpi dan takdir? Sedangkan kedua-dua diksi tersebut merupakan situasi yang di luar kawalan kita sebagai manusia biasa. Barangkali ini menjadi tarikan pembaca. Perhatikan keseluruhan sajak yang mempunyai empat rangkap;

Lakoni (sepatutnya diungkapkan “lakonkan”) sahaja harimu,

walaupun dewasa tak semegah

mimpi waktu kecilmu.

Keliru,

apa pernah punya mimpi

atau takdir telah dikunci.

Kadang,

jiwa menangis tapi tak bergetar,

hati merintih namun tak terdengar,

bibir bercanda mengukir senyuman,

pedih terluka tetap bertahan.

Pesanku kepada hati,

cuma sedikit waktu lagi,

nanti nadi pasti terhenti,

dan sakit ini takkan terulangi.

Mungkin sajak ini boleh dikategorikan sebagai sajak yang bersifat monolog. Sajak yang membina pertanyaan dan pada waktu yang sama memberi jawapan. Rangkap pertama seperti luahan. Isu “mimpi waktu kecil” dan “dewasa tak semegah” memberi kesan waktu yang dilalui dan cuba berselindung dengan “lakonkan sahaja harimu”.

Namun pada rangkap kedua, diksi “keliru” tidak perlu digunakan. Memadai dengan ungkapan “apakah (tambah “kah”) pernah punya mimpi atau takdir telah dikunci?” sebagai pancingan persoalan. Perhatikan pula kaitan pemaknaan rangkap ketiga dan keempat;

Kadang,

jiwa menangis tapi tak bergetar,

hati merintih namun tak terdengar,

bibir bercanda mengukir senyuman,

pedih terluka tetap bertahan.

Pesanku kepada hati,

cuma sedikit waktu lagi,

nanti nadi pasti terhenti,

dan sakit ini takkan terulangi.

Pada rangkap ketiga, penggunaan diksi “kadang” pun tidak perlu, kerana mengganggu keindahan alir cerita. Sebab, sajak yang bersifat monolog memerlukan lantunan rasa sebagai episod yang memberi laluan emosi mengalir dalam cerita sajak berkenaan.

Oleh yang demikian, pada rangkap ketiga sajak ini, penggunaan kata tunggal lebih dituntut untuk memberi ketegasan rasa tersebut. Mungkin rangkap ketiga boleh ditulis begini;

Jiwa tangis tanpa getarnya

hati rintih tak kedengaran

hanya canda terukir di bibir

dengan pedih yang tertahan

Begitu juga halnya dengan rangkap keempat atau terakhir sajak ini. Tidak perlu terlalu drastik mengemukakan luahan dengan membuat ungkapan langsung seperti “pesanku kepada hati”. Mungkin, kalau mahu dijalinkan dengan rangkap ketiga secara lebih harmoni dan halus, rangkap akhir dibuat sebegini;

                Pada hati

                ada sedikit waktu

                sebelum nadi terhenti

                untuk tak terulangi sakit ini

Rumusannya, ketiga-tiga sajak yang dibincangkan mempunyai keindahannya tersendiri. Sama ada pada mesejnya, atau pada gaya penulisannya.

Namun, kelemahan ketara pada ketiga-tiga sajak yang dibincangkan ialah penelitian terhadap keindahan untuk mengungkapkan diksi yang paling sesuai dan mampu memberi nafas kesegaran dalam membina pemaknaan.

Petuanya mudah untuk memastikan sajak yang dihasilkan mempunyai keindahan iaitu kuasai makna bahasa dan kayakan diri dengan perbendaharaan kata. Selamat berkarya.

Oleh Ja’afar Haji Hamdan

Continue Reading

Previous: Pengaruh Dimensi Silang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.