SIBU: Masyarakat Melayu memang terkenal dengan amalan berpantang secara tradisional selepas bersalin yang telah diamalkan sejak turun-temurun.
Antara amalan berpantang yang terkenal adalah seperti rawatan mandian haba, berbengkung, berjalan dengan perlahan, tidak boleh banyak bergerak, berurut serta penjagaan pengambilan makanan dan minuman herba.
Namun, perkembangan dan pembangunan perubatan seiring dengan gaya hidup moden menyebabkan amalan berpantang secara tradisional semakin dilupakan.
Terdapat juga sebilangan ibu muda yang lebih gemar berpantang secara moden. Ini disebabkan semakin ramai ibu muda yang bekerjaya merasakan amalan ini dilihat sukar dan membebankan.
Bagaimanapun, amalan berpantang secara tradisional dipercayai membawa banyak kebaikan untuk kesihatan seorang wanita secara luaran dan dalaman.
Menurut seorang pengamal perubatan tradisional Melayu, Dayang Hamsiah Awang Bujang,58, amalan berpantang dipercayai dapat mengembalikan bentuk badan seperti sebelum bersalin, memelihara awet muda, menyihatkan tubuh, melancarkan peredaran darah, serta merapatkan dan memulihkan peranakan.
Katanya, sekiranya seseorang itu tidak mengamalkan pantang, pelbagai masalah mungkin dihadapi pada masa hadapan seperti sakit pinggang dan peranakan.
“Lazimnya, bagi ibu yang lepas bersalin, tubuh badan akan menjadi lemah kerana berlaku perubahan hormon dan pada masa sama amat mudah dijangkiti kuman.
“Jadi, dengan adanya pendekatan berpantang secara tradisional seperti berurut ia dapat memperbetulkan peredaran darah, mengurangkan angin dan sakit kepala.
“Ini sekali gus dapat mengelak ibu yang lepas bersalin dari terkena ‘angin meroyan’,” katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Dayang yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang penjagaan ibu berpantang memberitahu, berdasarkan cara lama, tempoh berpantang yang paling ideal bagi ibu selepas bersalin adalah selama 100 hari manakala tempoh pantang paling minima pula adalah selama 40 hari.
Jelasnya, kebanyakan ibu zaman sekarang mengamalkan tempoh berpantang selama 40 hari.
“Proses penjagaan ibu yang berpantang selalunya bermula dengan urutan diikuti dengan bertangas, mandi haba dan pemakaian barut.
“Urutan bagi ibu selepas bersalin terdiri daripada urutan seluruh badan beserta urutan khas di bahagian payudara dan perut (peranakan).
“Proses urutan boleh dimulakan pada hari pertama selepas bersalin bagi kelahiran secara normal. Namun, cara urutannya sedikit berbeza mengikut bilangan hari.
“Kebiasaanya, saya akan mengurut secara berperingkat iaitu pada hari pertama berpantang, hari ketujuh dan hari ke-40 sebagai penutup pantang,” jelasnya.
Selain berpengalaman dalam penjagaan berpantang, Dayang turut memiliki kemahiran untuk menghasilkan ubat-ubatan tradisonal khas untuk ibu bersalin seperti air minuman herba, jus kunyit, majum dan sebagainya.
“Kesemua bahan yang digunakan untuk menghasilkan minuman herba ini menggunakan bahan semula jadi sahaja.
“Antaranya ialah serai wangi, halia, dan lengkuas. Selain itu, setiap minuman herba hanya dihasilkan mengikut permintaan dari pelanggan bagi mengekalkan kesegerannya,” ujarnya.