
SARATOK: Operasi pengurangan populasi buaya di Sungai Batang Krian melalui Op Remove yang dijalankan selama 10 hari telah berjaya menangkap sebanyak 11 ekor buaya.
Operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta anggota RELA.

Inisiatif serta idea bagi mewujudkan Op Remove ini dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, bersama Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.
Menurut Pegawai dari Pusat Khidmat ADUN Krian, James Jimbun, operasi ini membuktikan keberkesanan usaha pihak berkuasa dalam menangani isu keselamatan awam berkaitan populasi buaya.
“Tahniah atas kejayaan operasi pengangkapan buaya di Sungai Batang Krian yang berakhir hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menjelaskan bahawa operasi ini bertujuan mengawal populasi buaya di sepanjang sungai, bagi memastikan keselamatan masyarakat, terutamanya mereka yang menggunakan sungai dalam menjalankan aktiviti harian.

Op Remove juga memberi tumpuan kepada kawasan yang sering dilaporkan terdapat kehadiran buaya bagi mengurangkan risiko insiden tidak diingini.
Menurut James, penduduk digalakkan untuk berhubung dengan pihak berkuasa seperti SFC jika terdapat sebarang ancaman atau penampakan buaya di kawasan berisiko.
“Langkah ini penting bagi tindakan segera dan bagi memastikan keselamatan masyarakat tidak terjejas,” katanya lagi.

Beliau turut berharap inisiatif seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem serta mengurangkan populasi reptilia berkenaan.
Selain pengawalan populasi, operasi ini juga turut memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan mematuhi garis panduan keselamatan ketika berada berhampiran sungai.
James menyifatkan kejayaan Op Remove sebagai langkah proaktif yang menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan awam, sambil menekankan kepentingan kerjasama masyarakat dalam usaha ini.
Oleh Adi Safarman