KUALA LUMPUR: Bank Rakyat akan menerbitkan Sukuk Wakalah dengan nilai nominal RM10 bilion bagi tempoh 30 tahun yang membolehkan bank itu meraih pendanaan jangka panjang pada kadar tetap selain mempelbagaikan komposisi pendanaan tersebut.
Program sukuk berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar yang diberi penarafan AA2(s) oleh RAM Rating Bhd, akan dilaksanakan menerusi syarikat tujuan khas Imtiaz Sukuk II Bhd manakala penasihat prinsipal dan pengatur utama yang dilantik adalah Maybank Investment Bank Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, terbitan pertama sukuk dengan saiz bernilai RM500 juta dan pilihan meningkatkan terbitan, akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Program sukuk ini akan mengurangkan kebergantungan bank ini kepada pendeposit korporat, sekali gus meningkatkan nisbah regulatori untuk keperluan perniagaan perbankan.
“Sebagaimana yang anda ketahui, sukuk merupakan dana jangka panjang dan tujuannya adalah untuk menstabilkan keadaan pendanaan dan sebahagian daripada pengurusan mudah tunai.
“Ini adalah perancangan pihak bank untuk memastikan bank ini mempunyai portfolio pendanaan yang baik. Program sukuk ini juga ditawarkan bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian terbitan pertama sukuk tersebut di antara bank itu dengan barisan institusi kewangan terbabit di sini, semalam.
Rosman mewakili Bank Rakyat manakala Maybank Investment Bank Bhd diwakili oleh CEO Fad’l Mohamed berserta wakil institusi kewangan yang dilantik pengurus utama bersama iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.
Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mengulas selanjutnya, Rosman turut menegaskan bahawa Bank Rakyat berada pada landasan kukuh dan tidak mengalami masalah aliran tunai.
Sebaliknya, terbitan sukuk itu adalah berdasarkan kepada pertumbuhan lembaran imbangan.
Sementara itu, Wan Junaidi dalam ucapannya menyifatkan Program Sukuk Wakalah itu mencerminkan langkah proaktif Bank Rakyat membabitkan pengurusan modal terutamanya dalam persekitaran landskap ekonomi yang mencabar ketika ini.
Malah, katanya, pasaran sukuk juga merupakan sumber pembiayaan signifikan bagi projek pelaburan berskala besar dan berperanan penting dalam memudahkan proses pembangunan ekonomi.
“(Penerbitan) sukuk telah menyumbang 70 peratus daripada penerbitan bon korporat di negara ini sejak 2017. Pelabur pasaran sukuk juga boleh memberi potensi lebih besar dari segi mempelbagaikan pelaburan mereka,” katanya.- Bernama