


KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak mempergiat pemantauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 menerusi pelaksanaan tinjauan mesra di pasar raya Emart Batu Kawa.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, pemantauan itu bertujuan memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan harga terkawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan di negeri ini.
Menurutnya, SHMMP Krismas 2025 berkuat kuasa selama lima hari iaitu dua hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
“Pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 di Sarawak melibatkan 14 jenis barangan harga terkawal yang harga maksimumnya telah diwartakan dan dikuatkuasakan di semua peringkat rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara barangan yang terlibat ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kepak ayam, ayam tua hidup, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar, ubi kentang import serta beberapa kategori ternakan dan daging babi yang dikawal khusus di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Tambah beliau, penguatkuasaan skim itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 melibatkan peringkat ladang, pemborong dan peruncit, manakala harga maksimum yang diwartakan boleh disemak melalui laman sesawang rasmi kementerian.
“Bagi memastikan pematuhan, KPDN Sarawak menggerakkan seramai 207 Pegawai Penguat Kuasa dan 101 Pegawai Pemantau Harga di lokasi strategik seluruh negeri termasuk pasar raya, pasar awam, pasar tani dan kedai runcit.
“Sehingga 19 Disember 2025, KPDN Sarawak telah memeriksa 125,296 premis perniagaan dan membuka 399 kes di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM16.45 juta, manakala kompaun berjumlah RM826,550 berjaya dikutip.
“Dalam tempoh pelaksanaan OPS KESAN 4.0 bermula 1 Julai hingga 19 Disember 2025 pula, pemeriksaan ke atas 175 premis melibatkan 651 jenis barangan telah dijalankan, dengan 11 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa kementerian akan terus meningkatkan kehadiran pegawai penguat kuasa dan pemantau harga di lokasi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat, beretika dan berdaya saing.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar.
Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan harga dan bekalan boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.