LIMA Pusat Pembangunan (PP) Bola Sepak dan sebuah Pusat Cemerlang (PC) akan diwujudkan di bahagian Miri dalam usaha melahirkan pemain-pemain bola sepak cemerlang dan terbaik.
Menteri Pelacongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia Dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lima PP tersebut ialah PP Baram yang diwakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan, SMK Tinjar dan SMK Long Lama, PP Subis (SMK Subis, SMK Bekenu dan SMK Luar Bandar Miri), PP Lambir (SMK Riam dan SMK Taman Tunku) dan PP Bandar (SMK St.Columba, SMK St.Joseph dan SMK Chung Hua).
“Hari ini (18 september) cukup bersejarah bagi saya dalam usaha membangunkan sukan bola sepak yang mana sebelum ini sistem mencungkil bakat atau mencari bakat -bakat atlet pemain bolasepak selalunya tidak ada yang teratur sangat.
“Sebelum ini, kalau kita hendak memilih pemain bola sepak untuk mewakili bahagian contoh dari Miri ,akan diatur satu tarikh untuk pemilihan dan sekiranya pada hari tersebut mereka (pemain berbakat ) demam atau berdepan masalah -masalah lain mereka tidak dapat hadir untuk pemilihan, jadi mereka akan terlepas peluang ini.
“Jadi dengan mewujudkan PP ini, ia akan mempunyai struktur yang teratur untuk memilih dan mencungkil bakat-bakat pemain bolasepak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Pembangunan Bolasepak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) di sini, semalam.
PP tersebut merupakan satu program kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) yang diwujudkan untuk melahirkan pemain-pemain cemerlang dan terbaik untuk mewakili pasukan Negeri Sarawak ke Kejohanan Sukma, Piala Presiden Bawah 21 Tahun dan Piala Belia Bawah 19 Tahun.
Abdul Karim berkata, pemain-pemain daripada PP tersebut akan dipilih masuk ke Pusat Cemerlang.
Menjelas lanjut, beliau berkata sekolah adalah antara tempat yang paling baik menjadi gedung pengeluar pemain-pemain muda berbakat bukan sahaja dalam sukan bolasepak tetapi juga sukan yang lain.
“Ini kerana di sekolah mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum yang mana mereka boleh memilih sukan yang mereka minati.
“Selain itu, di sekolah selalunya ada guru-guru sukan tertentu seperti akuatik, sukan bolasepak, sukan renang dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, pada majlis tersebut Abdul Karim menyampaikan surat perlantikan jurulatih (PP/PC) Bolasepak SSC dan FAS bagi prorgam 2023-2024 kepada tiga orang jurulatih.
Hadir sama, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Pemangku Residen Miri, Aziz Mohd Yusuf dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Miri, Nazri Ahmad Lai.
Oleh Liong Chai Ling