
KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir apabila beliau menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada seorang penduduk yang memerlukan di Rumah Bagus, Simpang 4, Plassu Kabong, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan dalam satu lawatan kebajikan yang turut disertai isteri beliau, Datin Meryani Yassin, bagi menyantuni Ganin Dangut, 53, di kediamannya.
Dalam lawatan tersebut, Chee Kadir menyerahkan sebuah kerusi roda bagi membantu memudahkan pergerakan harian Ganin yang kini berdepan kekangan fizikal.
Ganin disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu, selain kehilangan penglihatan dan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 24 Jun 2024.
Menurut Chee Kadir, sumbangan itu amat penting bagi membantu Ganin menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Sarikei dengan lebih selesa dan teratur.
Beliau berkata, bantuan tersebut adalah manifestasi keprihatinan seorang wakil rakyat dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan sentiasa terbela.
Chee Kadir berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung Ganin serta memberi sedikit keselesaan dalam menjalani kehidupan seharian dan rawatan perubatan berterusan.
“Saya akan terus turun padang bertemu rakyat, melihat sendiri keperluan mereka serta bertukar pandangan mengenai perkembangan di kawasan yang saya wakili, sebagai usaha mengeratkan hubungan sejak awal saya diberi amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.
Oleh Adi Safarman