
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Perayaan Hari Krismas 2025 selama enam hari bermula 23 hingga 28 Disember ini di seluruh Sarawak.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, berkata kempen berkenaan bertujuan menurunkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan selain memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan lalu lintas.
Menurut beliau, kempen itu turut memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan rasa selesa dan selamat dalam kalangan pengguna jalan raya menerusi penempatan pegawai dan anggota polis di lokasi-lokasi dikenal pasti sering berlaku kemalangan, di samping memastikan aliran trafik berjalan lancar dan terkawal.
“Seramai kira-kira 700 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai cawangan dan jabatan akan terlibat secara langsung dalam kempen ini di semua daerah di bawah Kontinjen Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri sesi ramah mesra Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Perayaan Krismas 2025 di Pasaraya Farley hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan orang ramai dan masyarakat setempat mengenai faktor keselamatan jalan raya serta kepentingan pematuhan undang-undang bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya semasa musim perayaan.
Dalam pada itu, PDRM menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, berhemah ketika memandu serta mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar peraturan. Utamakan keselamatan diri dan keluarga serta ingatlah orang yang tersayang,” katanya.
PDRM berharap kempen berkenaan dapat mencapai matlamat disasarkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di seluruh Sarawak sepanjang tempoh perayaan Hari Krismas 2025.
Oleh Shahrul Qaizat