
KUALA LUMPUR: Sekiranya kehadiran satu kumpulan muzik ternama sudah cukup mencipta kegembiraan, bayangkan fenomena yang dicetuskan oleh gabungan dua nama besar di atas satu pentas.
Fenomena itu dapat disaksikan di konsert ‘NIDJI X BUNKFACE’ yang bertempat di Zepp Kuala Lumpur malam tadi, kerana sepanjang hampir tiga jam persembahan, ribuan peminat yang memenuhi dewan itu tidak berhenti-henti menyanyikan setiap bait lagu bersama-sama dengan artis pujaan mereka.
Jam tepat menunjukkan 8.36 malam ketika ruang pesta digelapkan, disambut sorakan gemuruh peminat yang rata-rata berpakaian denim. Sejurus kemudian, muncul Bunkface membuka tirai persembahan dengan lagu Malam Ini Kita Punya, menghidupkan suasana konsert sedari awal.

Suasana terus memuncak dengan alunan rangkaian lagu popular mereka seperti Panik, Prom Queen dan Silly Lily, sekali gus membuktikan kumpulan yang dianggotai Sam, Paan, Youk dan Biak itu masih relevan meskipun sudah dua dekad mewarnai industri muzik tempatan.
“Kami dah 20 tahun, tak sangka masih ada yang dengar lagi lagu kami,” kata Sam selaku vokalis kumpulan itu yang terharu melihat sambutan luar biasa peminat.
Membawakan 13 lagu termasuk Situasi dan Revolusi, Bunkface berjaya memacu tenaga penonton sebelum menutup persembahan sekitar 9.50 malam, namun semangat peminat kekal tinggi sementara menantikan kemunculan kumpulan dari negara seberang, Nidji, di pentas utama.
Penantian peminat yang sudah siap dengan telefon pintar di tangan untuk merakam setiap detik akhirnya terbayar apabila Nidji muncul di pentas dengan senyuman lebar dan lambaian tangan yang membalas semangat penonton

Kumpulan yang dianggotai Yusuf Ubay (vokalis), Andro Regantoro (bes), Randy Danistha (keyboard), Ramadhista Akbar and Andi Ariel Harsya (gitar) dan Adri Prakarsa (dram) itu membuka persembahan dengan lagu hit mereka iaitu Laskar Pelangi.
Ubay mengakui berasa agak gementar untuk membuat persembahan pada malam itu dan terharu dengan sambutan hangat peminat.
“Jujur aku nervous sangat malam ini. Jarang kami bawakan set (lagu) ini tetapi kami bawakan khas untuk hujung tahun 2025. Ramai sekali malam ini, kalian semua gembira?” katanya.
Nidji menghiburkan penonton dengan deretan lagu lama dan terbaharu mereka termasuk Manusia Sempurna, Kisah Kasihku, Wadoow, Zayang-Zayang, Bolehlah Ku Berharap, Teman Sejati, Bila Aku Jatuh Cinta, Rahasia Hati, Shadows dan Biarlah.
Disangkakan Nidji menutup persembahan dengan Biarlah, namun bertukar menjadi kejutan apabila mereka kembali ke pentas membawakan lagu ikonik Sumpah dan Cinta Matiku, mencetuskan sorakan dan nyanyian bersama yang hampir “memekakkan telinga” sebelum mengakhiri konsert dengan Hapus Aku.
-Bernama