Melihat kek jeli yang dihasilkan oleh Boon Siew Heng, 37, pasti terdetik di hati untuk mengatakan ‘cantiknya’ atau ‘sayang untuk memakannya’.
Memang benar, dek terlalu indah dan kreatifnya hasil kerja itu, ia bukan lagi seperti makanan tetapi hasil seni untuk diabadikan.
Hasil kerjanya cukup teliti dan halus sehingga corak yang dihasilkan, sama ada bunga-bungaan atau binatang, seperti kelihatan segar dan hidup, tersusun indah di dalam kek yang diperbuat daripada jeli.
Dengan hanya berbekalkan bahan-bahan asas seperti jeli rumpai laut, gula, santan, perisa dan pewarna semula jadi, Siew Heng boleh mencorakkannya menjadi apa sahaja yang dimahukan.
Menceritakan bagaimana awalnya dia berminat membuat kek jeli 3D ini, Siew Heng berkata semuanya bermula pada tahun 2017 selepas dia belajar teknik pembuatan jeli ini daripada seorang guru di Kuala Lumpur.
“Mula-mula memang sukar untuk saya menghasilkannya tetapi dengan latihan yang bertubi-tubi, saya mula mahir,” katanya.
Empat bulan lamanya dia mengasah kemahiran ini sebelum berjaya menghasilkan satu kek jeli pertama yang sempurna untuk majlis perkahwinan adik lelakinya.
Bermula daripada percubaan itu, dia mula yakin dapat menghasilkan kek jeli dengan pelbagai corak menarik. Ibu dua anak ini kemudian mempelbagaikan corak rekaannya, dari hanya corak mudah kepada yang lebih rumit.
Pemegang ijazah Sarjana Perdagangan dari University Of Sydney yang berasal dari Petaling Jaya ini berkata, seni ini perlukan kesabaran dan latihan yang banyak kerana setiap satu motif dihasilkan secara teliti bagi menghasilkan corak yang kelihatan asli.
“Untuk mahir, seseorang perlu terus berlatih. Memang tidak mudah tetapi saya percaya sesiapa pun boleh menghasilkannya asalkan ada minat dan sabar,” kata ibu kepada dua anak yang kini menetap di Australia.
Yakin dengan potensi bakatnya serta sambutan menggalakkan daripada orang ramai, suri rumah ini kemudian menubuhkan Jelly Alchemy yang menerima tempahan pelanggan untuk kek jeli 3D bagi majlis atau acara penting dalam hidup mereka.
Jika dilihat daripada hasil kerjanya, ternyata Siew Heng lebih menggemari motif bunga-bungaan. Bagaimana pun dia sentiasa mempelbagaikan corak untuk menampilkan kelainan kepada ciptaannya.
“Corak susunan bunga paling saya minati kerana saya memang sukakan bunga-bungaan, lagipun ia sentiasa cantik,” katanya sambil menambah, corak paling sukar adalah binatang, terutama untuk membuat bulu-bulunya.
Kata Siew Heng, tempoh masa penyiapan satu-satu kek jeli biasanya bergantung kepada corak yang ingin dihasilkan. Bukan kerja mudah untuk menyuntik setiap corak ke dalam jeli satu persatu secara terbalik dan bukan mudah juga kalau seseorang tiada kreativiti untuk menghasilkan satu-satu rekaan.
“Paling lama saya pernah buat kek jeli yang mengambil masa lima dan enam jam,” tambahnya yang kini aktif menawarkan kelas secara atas talian dengan kerjasama Group Masak Apa Tak Jadi.
Untuk rancangan masa hadapannya, Siew Heng yang pernah bekerja di bidang pemasaran ini berhasrat memperluaskan lagi seni jeli 3D ini, terutama selepas melihat sambutan luar biasa masyarakat seluruh dunia terhadap hasil kerjanya.
“Saya harap dapat mengembara ke seluruh dunia untuk menawarkan kelas bimbingan antarabangsa untuk mereka yang berminat mendalami seni ini,” ujarnya dalam satu temu bual secara atas talian bersama Utusan Sarawak.
Oleh Haini Darani