Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Eksklusif: Dari eksplorasi ke templat: Ke mana perginya niat kreatif AI?
  • TEKNOLOGI

Eksklusif: Dari eksplorasi ke templat: Ke mana perginya niat kreatif AI?

Utusan Sarawak 6 hours ago
JANAAN AI… Foto AI ini menggambarkan evolusi hubungan manusia dan kecerdasan buatan sebagai alat sokongan kreativiti dan pemikiran. Foto AI Earl Anek

PERKEMBANGAN pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif telah mengubah landskap penciptaan visual secara drastik, menjadikan proses menghasilkan imej dan video AI berkualiti tinggi lebih pantas dan mudah berbanding sebelum ini. 

Namun, di sebalik kemudahan tersebut, timbul kebimbangan dalam kalangan pengamal AI kreatif bahawa penggunaan AI kini semakin menjurus kepada pengulangan templat, sekali gus menghakis niat dan proses pemikiran kreatif asal.

Pemerhatian ini semakin ketara apabila sebahagian pengguna AI generatif dilihat lebih menumpukan kepada hasil segera dan pengiktirafan di media sosial dan sebagainya berbanding usaha memahami bagaimana teknologi tersebut berfungsi. 

Keadaan tersebut mencetuskan perbincangan tentang peranan sebenar AI dalam industri kreatif AI, sama ada sebagai alat pembelajaran atau sekadar medium menghasilkan kandungan secara automatik.

MENARIK… Foto AI dijana melalui inferens AI berasaskan model generatif, dipandu oleh parameter dan arahan prompt penulis. Foto AI Earl Anek

Pada peringkat awal kemunculan AI generatif, penulisan arahan atau prompt merupakan satu proses eksplorasi yang menuntut pemahaman mendalam. 

Pengguna perlu mencuba pelbagai pendekatan, menilai hasil dan memahami cara sistem mentafsir bahasa, konteks serta elemen visual sebelum memperoleh output yang dikehendaki.

Ketika itu, prompt yang panjang dan teknikal bukanlah satu trend, sebaliknya satu keperluan. 

Ia digunakan bagi mengenal pasti batas dan keupayaan sistem AI, selain membantu pengguna membina kefahaman terhadap mekanisme AI itu sendiri.

Bagaimanapun, prompt ringkas juga telah digunakan sejak awal, khususnya oleh pengguna AI yang jelas tentang niat visual mereka. 

Ringkas atau panjang prompt bukan ukuran utama, sebaliknya kejelasan tujuan menjadi faktor penentu kualiti hasil janaan AI yang dihasilkan.

Perbezaan ketara antara penggunaan AI dahulu dan sekarang terletak pada tujuan penulisannya. 

Jika dahulu prompt ditulis bagi memahami dan meneroka AI, kini semakin banyak prompt ditulis atau di salin tampal dari prompt yang diberikan oleh platform AI semata-mata untuk mendapatkan hasil pantas tanpa proses pembelajaran yang mendalam.

MENARIK… Foto AI dijana melalui inferens AI berasaskan model generatif, dipandu oleh parameter dan arahan prompt penulis. Foto AI Earl Anek

Perkembangan ini didorong oleh peningkatan keupayaan AI yang semakin cekap mentafsir arahan manusia. 

Namun, kemudahan tersebut turut menyebabkan sebahagian pengguna AI bergantung kepada templat sedia ada dan arahan minimum, tanpa memahami prinsip visual atau logik sistem yang digunakan.

Keadaan ini turut melahirkan fenomena pelabelan diri sebagai “pakar” atau “sifu AI” hanya berdasarkan keupayaan menghasilkan imej melalui arahan asas, termasuk teknik menampal wajah sendiri ke dalam templat yang telah tersedia.

Pendekatan sedemikian berisiko merendahkan nilai kreativiti dan pembelajaran, selain mengubah AI daripada alat eksplorasi kepada instrumen pemasaran diri semata-mata.

Dalam konteks ini, menjadi pengguna AI tidak boleh disamakan dengan memahami AI. Populariti kandungan yang dijana juga tidak semestinya mencerminkan kedalaman pemikiran atau keupayaan kreatif seseorang individu.

Prompt yang berkualiti tidak diukur berdasarkan panjang ayat atau istilah teknikal yang digunakan, sebaliknya melalui kejelasan niat dan kesedaran kreatif di sebalik penulisannya.

Prompt ringkas yang lahir daripada kefahaman mendalam dilihat lebih bernilai berbanding prompt panjang yang digunakan untuk menutup kekeliruan atau kekurangan pemikiran.

Dalam era digital yang menyanjung kepantasan, proses kreatif sering diketepikan demi hasil segera. Sedangkan proses inilah yang membentuk kemahiran, kematangan dan identiti kreatif jangka panjang.

AI pada asasnya bukanlah ancaman kepada kreativiti manusia. Sebaliknya, cabaran sebenar muncul apabila teknologi tersebut digunakan untuk menggantikan pemikiran, bukan untuk menyokong dan memperkukuhkannya.

Apabila kreativiti AI dikurangkan kepada arahan paling minimum yang boleh diterima oleh sistem, hasil yang diperoleh mungkin kelihatan berfungsi, namun sering kali gagal membawa makna atau nilai yang berkekalan.

Evolusi sebenar dalam penggunaan AI bukan terletak pada kecanggihan teknologi, tetapi pada kesediaan manusia untuk terus berfikir, menilai dan mempertahankan niat kreatif mereka.

AI boleh mempercepatkan penghasilan visual dan kandungan, namun unsur rasa, cerita dan konteks masih bergantung sepenuhnya kepada manusia yang menggunakannya dengan kesedaran dan tanggungjawab.

Sehubungan itu, prompt perlu dilihat sebagai satu bentuk bahasa kreatif, bukan sekadar arahan teknikal. Seperti bahasa lain, nilainya ditentukan oleh cara ia digunakan dan tujuan ia ditulis.

Jika perkembangan teknologi tidak disertai kesedaran intelektual, kreativiti AI berisiko terhenti pada tahap paling minimum yang boleh diterima oleh sistem.

Kesimpulannya, AI seharusnya berfungsi sebagai alat untuk memperluas kemungkinan kreatif, bukannya jalan pintas untuk mengelakkan proses berfikir yang menjadi asas kepada penciptaan kandungan AI yang lebih bermakna.

Nota: Penulisan ini dikongsi sebagai satu pemerhatian peribadi penulis sebagai wartawan Utusan Sarawak dan moderator Facebook kumpulan Prompters Malaya, kumpulan AI terbesar di Malaysia yang kini mempunyai jumlah lebih 657,000 ahli. Jika ada yang merasakan pandangan ini menyentuh diri pembaca, diharapkan ia dapat diterima dengan hati terbuka sebagai ruang untuk refleksi dan penambahbaikan bersama.

Oleh Earl Anek 

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Stesen Pengecasan Pantas DC EV SEB GENTARI pertama di Sibu dilancarkan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.