Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak catat tangkapan dadah tertinggi dalam tempoh sedekad
  • SEMASA

Sarawak catat tangkapan dadah tertinggi dalam tempoh sedekad

Utusan Sarawak 15 hours ago
MENTERI Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah pada sidang media Wisma Bapa Malaysia, hari ini. Foto UKAS 

PETRA JAYA: Sarawak merekodkan jumlah tangkapan berkaitan dadah tertinggi dalam tempoh 10 tahun, sekali gus mencerminkan keberkesanan penguatkuasaan yang diperkukuh serta usaha intervensi awal menerusi Jawatankuasa Sehenti Menangani Isu Dadah dan Substans (OSC MIDS).

Perkembangan itu didedahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah pada sidang media selepas Mesyuarat OSC MIDS Peringkat Negeri yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini. 

Menurut beliau, statistik yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut menunjukkan seramai 632 pengedar dadah ditahan, melibatkan 2,387 kes pemilikan serta 9,703 penagih, menjadikan angka berkenaan yang tertinggi direkodkan sepanjang sedekad lalu.

Fatimah menjelaskan bahawa peningkatan jumlah tangkapan tidak seharusnya dilihat sebagai petanda negatif, sebaliknya mencerminkan kejayaan pihak berkuasa mengesan dan menangani masalah itu lebih awal sebelum ia terus tersembunyi dalam masyarakat.

“Walaupun angka ini kelihatan membimbangkan, hakikatnya ia satu perkembangan positif kerana membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera serta membuka ruang kepada intervensi awal,” katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan di bawah OSC MIDS turut membawa kepada rampasan dadah dalam jumlah besar, sekali gus memutuskan rantaian bekalan dan menghalang pengedaran berterusan di peringkat komuniti.

Kesan daripada rampasan tersebut dianggarkan berjaya menghalang lebih 763,000 kejadian penyalahgunaan dadah dan menyelamatkan kira-kira 27,500 individu daripada terus terjerumus dalam ketagihan.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan OSC MIDS tidak tertumpu kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan seimbang kepada aspek pemulihan dan pemerkasaan semula, agar individu yang ditahan dapat disalurkan ke program rawatan dan intervensi yang bersesuaian.

“Inilah kisah kejayaan kita. Penguatkuasaan membolehkan individu yang terlibat dikenal pasti lebih awal, seterusnya proses pemulihan dan pemulangan mereka ke dalam masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak termasuk komuniti dan institusi keluarga agar terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan substans, sambil menekankan bahawa pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan perlu bergerak seiring demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kelvin Yii gesa semakan semula pemotongan elaun wilayah petugas kesihatan Sabah, Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.