
SARATOK: Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie menegaskan tiga fokus utama pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak iaitu menurunkan indeks jenayah di Daerah Saratok, membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh serta meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai bahaya jenayah penipuan atau ‘scammer’.
Beliau berkata, ketiga-tiga fokus berkenaan perlu digerakkan secara bersepadu dan berterusan bagi memastikan tahap keselamatan awam di Saratok kekal terpelihara serta berada pada tahap yang membanggakan.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian dalam kalangan warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok serta keluarga masing-masing sebagai asas kepada prestasi kerja yang cemerlang.
Menurut beliau, hubungan kekeluargaan yang harmoni dan persekitaran kerja yang kondusif akan menyumbang kepada peningkatan motivasi serta komitmen anggota dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan mendekati masyarakat melalui pelaksanaan program Kepolisan Komuniti akan terus diperkasakan merangkumi semua lapisan dan peringkat masyarakat di Daerah Saratok.
Jelasnya, kerjasama erat antara polis dan komuniti amat penting bagi membina kepercayaan, sekali gus membantu pihak berkuasa menangani isu keselamatan secara lebih berkesan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan aspek penguatkuasaan, risikan serta kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat di Saratok sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang berlangsung di sini, semalam.
Pada majlis sama, DSP Mathew turut menyampaikan lapan Sijil Penghargaan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada anggota yang telah menunjukkan kualiti kerja tinggi serta kecemerlangan dalam melaksanakan tugasan.
Selain itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas dan Tahun Baharu 2026 kepada semua yang meraikannya, di samping menasihatkan warga Saratok agar memaklumkan kepada PDRM atau balai polis berdekatan sekiranya pulang bercuti dan meninggalkan rumah.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya memastikan semua suis elektrik dimatikan, pintu dan tingkap dikunci dengan baik serta sentiasa memandu dengan berhemah bagi memastikan perjalanan yang selamat sehingga ke destinasi.
Perhimpunan Bulanan berkenaan dihadiri oleh lapan Pegawai Kanan Polis, 71 Pegawai Rendah Polis serta Pegawai Awam IPD Saratok.
Oleh Adi Safarman