
KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen telah meluluskan peruntukan berjumlah RM106,600 bagi kerja pembaikan dan naik taraf kemudahan pentas Dewan Seri Lintang di SMK Batu Lintang, yang disifatkannya sebagai hadiah awal Krismas kepada pihak sekolah.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid SMK Batu Lintang, sambil menjelaskan bahawa peruntukan tersebut bertujuan membolehkan sekolah menganjurkan pelbagai aktiviti dan acara dengan lebih selamat dan selesa pada masa hadapan.
Menurut pihak sekolah, pentas dewan tersebut mengalami kerosakan serius sejak 2023, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan dan menjadikannya tidak selamat untuk digunakan. Pada masa yang sama, dewan berkenaan amat diperlukan bagi penganjuran aktiviti dan program sekolah berskala besar, termasuk majlis anugerah yang berlangsung pagi tadi.
“Susulan permohonan tersebut, pejabat saya telah meluluskan peruntukan bagi membantu sekolah membaiki dan menaik taraf kemudahan dewan dan pentas sedia ada,” katanya.
Dalam ucapannya kepada para pelajar, Kelvin Yii turut berkongsi pandangan mengenai belia, potensi dan masa depan. Beliau berkata masa depan seseorang tidak ditentukan oleh titik permulaan, tetapi oleh pilihan yang dibuat antara siapa diri mereka hari ini dan siapa yang ingin mereka jadi.

Mengimbau zaman persekolahannya, beliau berkata beliau juga pernah melalui fasa kekeliruan dan ketidakpastian serta tidak dipandang tinggi ketika itu. Namun, keputusan yang dibuatnya kemudian telah membentuk dirinya pada hari ini.
“Saya sentiasa percaya kepada kekuatan anak muda. Ramai mengatakan anak muda adalah pemimpin masa depan, tetapi bagi saya, anak muda adalah pemimpin hari ini,” katanya.
Beliau menggalakkan para pelajar agar berani mengejar apa yang mereka inginkan, merancang dan mencipta peluang, serta tidak menunggu peluang datang secara pasif.
Yii menegaskan bahawa bakat bukan semata mata untuk kejayaan peribadi, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk kebaikan orang lain. Beliau berkata profesion hanyalah satu alat, manakala perkara paling penting ialah menggunakan kebolehan untuk mencipta nilai kepada masyarakat.
“Sama ada menjadi doktor, peguam, guru atau jurutera, tujuan sebenar keupayaan bukanlah kejayaan peribadi tetapi berkhidmat kepada orang lain dan menyumbang untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembelajaran tidak harus terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya pelajar perlu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat bagi membolehkan mereka memberi impak bermakna kepada masyarakat.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan bimbingan mentor dalam kehidupan, sambil menyatakan tiada siapa yang berjaya sepenuhnya bersendirian.
Beliau menambah bahawa negara tidak memerlukan graduan yang hanya cemerlang dalam peperiksaan, tetapi generasi yang berani mencipta, berani memimpin dan sanggup berkhidmat.
Yii mengakhiri ucapannya dengan mendoakan kejayaan berterusan kepada semua graduan ketika mereka melangkah ke fasa kehidupan seterusnya dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
Oleh Connie Chieng