
PETRA JAYA: Program Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Selatan 2025 mencatat penyertaan memberangsangkan daripada 68 sekolah melibatkan 47,020 pelajar, menunjukkan kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar di Sarawak.
Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak, Datu Elizabeth Loh berkata, jumlah penyertaan itu menunjukkan peningkatan sekitar 41.7 peratus berbanding hanya 48 sekolah pada tahun lalu, melibatkan 41 sekolah rendah dan 27 sekolah menengah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Selatan 2025 yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pertandingan tersebut melibatkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) Zon Selatan iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Majlis Daerah Bau dan Majlis Daerah Lundu.
“Majlis hari ini bukan sekadar penyampaian hadiah, sebaliknya melambangkan komitmen bersama semua pihak dalam melindungi dan memelihara alam sekitar yang semakin terancam,” katanya.
Beliau menjelaskan, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar mengenai kepentingan kitar semula, memupuk budaya kitar semula dalam kalangan warga sekolah dan komuniti, serta menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap penjagaan alam sekitar.

Katanya, penganjuran program secara konsisten di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan amalan kitar semula menjadi sebahagian daripada gaya hidup seharian generasi muda.
Program berkenaan dianjurkan bersama oleh MPHLG Sarawak dengan kerjasama Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta 12 pihak berkuasa tempatan bagi Zon Selatan dan Zon Tengah.
Dalam pada itu, Datu Elizabeth turut merakamkan penghargaan kepada F&N yang menyokong program tersebut sejak 2019, selain NREB Sarawak atas peranan penting dalam komponen sisa elektronik (e-waste), serta Jabatan Pendidikan Negeri, pejabat pendidikan daerah, guru-guru dan para pelajar.
Beliau turut memuji peranan aktif pihak berkuasa tempatan sebagai penghubung antara sekolah dan vendor kitar semula yang memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan berkesan.
Sebagai galakan ke arah gaya hidup lestari, setiap peserta turut menerima botol plastik boleh guna semula bagi mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna.
Majlis penyampaian hadiah itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Oleh Shikin Mahmud