
KUCHING: Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Sarawak kini mencapai sekitar 35 peratus kemajuan, dengan stesen pusat ART Hikmah Exchange disasarkan siap sepenuhnya pada 2028, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, stesen ART Hikmah Exchange bakal menjadi hab pengangkutan awam utama Sarawak apabila semua laluan ART iaitu garisan merah, biru dan hijau akan bertemu di stesen berkenaan, sekali gus menjadikannya nadi rangkaian ART di bandar raya ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, stesen pusat itu direka dengan konsep hampir sama seperti KL Sentral dan akan menghubungkan pergerakan orang ramai ke pelbagai arah utama di Kuching.
“Stesen ini sangat strategik kerana ia menghubungkan kawasan pusat bandar lama termasuk Carpenter Street dan Padungan, selain akses ke Petra Jaya melalui Green Line yang seterusnya menuju ke Damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan stesen ART Hikmah Exchange di Padang Pasir, hari ini.
Menurut beliau, stesen berkenaan turut menghubungkan laluan ke Simpang Tiga yang menempatkan kompleks pejabat Kerajaan Persekutuan, sekali gus menjadikannya hab pengangkutan utama bagi pergerakan harian penduduk dan penjawat awam.
Abang Johari berkata, pelaksanaan ART juga akan menggalakkan konsep ‘park-and-ride’, membolehkan orang ramai meletakkan kenderaan di stesen sebelum meneruskan perjalanan menggunakan ART bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar raya ini.



“Orang ramai tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada bas atau perkhidmatan e-hailing. Dari setiap stesen, mereka boleh terus menggunakan ART ke mana-mana arah,” katanya.
Mengulas perkembangan projek, beliau berkata pembinaan sistem ART setakat ini telah mencapai kira-kira 35 peratus dengan baki 65 peratus lagi sedang giat dilaksanakan.
Menurut beliau, gerabak ART dijangka tiba di Sarawak secara berperingkat mulai April 2026, manakala stesen pusat ART Hikmah Exchange disasarkan siap sepenuhnya pada 2028.
“Gerabak ART akan mula sampai pada suku pertama 2026. Stesen pusat ini pula dijadualkan siap pada 2028,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan termasuk jajaran laluan, stesen serta kemudahan sokongan seperti stesen hidrogen berjalan mengikut perancangan, termasuk di kawasan Rembus dan Sungai Samarahan.
Bagaimanapun, Abang Johari menegaskan projek ART merupakan projek strategik negeri dan tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa, sambil mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya terhadap tahap kesiapsiagaan perancangan pembangunan di sekitar stesen pusat berkenaan.
“Saya tidak boleh kata saya 100 peratus puas hati. Sebab itu saya datang sendiri ke tapak ini. Kita perlu pastikan perancangan dibuat dengan teliti dalam tempoh dua tahun akan datang bagi mencapai objektif ART,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat