

KOTA SAMARAHAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) menzahirkan komitmen berterusan dalam penyediaan fasiliti perkhidmatan awam berkualiti menerusi penyerahan Projek Pembinaan Taman Kepimpinan (I-Lead) dan Projek Menaik Taraf Fasiliti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah yang berlangsung di INTAN Kampus Samarahan, hari ini.
Majlis penyerahan itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim, manakala penyerahan projek disempurnakan oleh JKR kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, sekali gus menandakan siap sepenuhnya pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan untuk digunakan oleh pihak klien.
Pengarah Kerja Raya, Datu Dr. Cassidy Morris berkata, kejayaan pelaksanaan projek tersebut mencerminkan keupayaan serta komitmen JKR Sarawak dalam menyampaikan kemudahan berkualiti tinggi untuk kegunaan perkhidmatan awam.
Menurut beliau, setiap projek dilaksanakan dengan pematuhan penuh terhadap spesifikasi, piawaian teknikal dan tahap kualiti yang ditetapkan bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada pengguna.
Beliau turut memaklumkan bahawa kejayaan ini membuka ruang kerjasama dan kolaborasi strategik yang lebih luas antara JKR dan pihak INTAN, khususnya dalam perancangan serta pembangunan fasiliti latihan bagi menyokong peningkatan keupayaan penjawat awam.
Sementara itu, Dato’ Mohd Shaiful berkata, kemudahan yang disediakan menerusi projek berkenaan dijangka memperkukuh penyampaian latihan kepada penjawat awam, selaras dengan keperluan pembangunan modal insan sektor awam.
Beliau turut berharap agar JKR terus memberikan khidmat teknikal dan kepakaran dalam pembangunan fasiliti, khususnya di Kampus INTAN Sarawak (INSARA).
Menurutnya, pelaksanaan projek menaik taraf jalan dan parkir turut mewujudkan persekitaran kampus yang lebih kondusif, selamat dan teratur, sekali gus meningkatkan keselesaan serta pengalaman pengguna, terutamanya penjawat awam dari negeri ini // Sarawak.
Skop Projek Pembinaan Taman Kepimpinan (I-Lead) merangkumi pembinaan satu bangunan utama Incube, 11 elemen luaran serta kerja-kerja landskap yang menyokong konsep pembangunan kepimpinan berasaskan persekitaran terbuka.
Projek Menaik Taraf Jalan dan Parkir pula melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan, penyediaan perabot jalan, pembinaan dan penambahbaikan sistem perparitan, serta penyediaan kemudahan parkir berbumbung bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna kampus.
JKR Sarawak menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan projek pembangunan fasiliti awam yang berkualiti, berimpak tinggi dan memberi manfaat berterusan kepada perkhidmatan awam serta rakyat negeri Sarawak.