BETONG: Jambatan gantung di Rumah Nila Ragae Lawing, Padeh yang runtuh akibat arus deras dalam satu kejadian Sabtu lalu, memerlukan penyelesaian segera untuk dibaik pulih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu berkata, jalan penyelesaian diambil dengan membaik pulih jambatan runtuh itu sementara menunggu jambatan baharu dibina.
“Rumah Nila masih memerlukan jaringan hubungan dan merancang membina jambatan i-Beam, dan tersenarai dalam Projek Pembangunan Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun ini.
“Namun akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka proses pembinaan jambatan tersebut tertangguh buat sementara waktu.
“Kita tidak menduga musibah melanda jambatan gantung yang menjadi penghubung penduduk sebagai laluan keluar, rosak akibat rempuhan arus deras menyebabkan mereka terputus hubungan,” ujarnya ketika meninjau dan memantau jambatan runtuh di Rumah Nila Ragae Lawing, Padeh kelmarin.
Rentap dalam tinjauan itu, turut bersama Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong Chiresly Francis Kureng bagi meninjau jambatan runtuh itu.
“Kita juga mengenal pasti permasalahan lain menyebabkan berlaku runtuhan jambatan terbabit adalah akibat tanah susur kesan daripada arus deras sungai di kawasan tebing.
“Terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong bertindak segera menyediakan perahu untuk kegunaan penduduk rumah panjang menyeberangi sungai,” katanya.
Rentap merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Betong kerana menghantar barang keperluan asas kepada penduduk terjejas.
Oleh Adi Safarman