
TOKYO: Beratus-ratus orang di seluruh Jepun semalam memfailkan saman terhadap kerajaan pusat, menuntut pampasan atas dakwaan kegagalan “tidak berperlembagaan” dalam menangani perubahan iklim.
Tindakan undang-undang bersejarah itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara tersebut.
Saman bersejarah itu mengkritik usaha Jepun menangani krisis iklim sebagai “sangat tidak mencukupi” dan mendakwa kegagalan berkenaan menjejaskan kesihatan serta mata pencarian kira-kira 450 plaintif.
“Kami baru sahaja menyerahkan aduan dan bukti kepada mahkamah, dan saman kami telah diterima secara rasmi,” kata peguam utama Akihiro Shima kepada AFP.
Seorang plaintif, Kiichi Akiyama, seorang pekerja pembinaan, berkata haba melampau yang berterusan memaksa pasukannya bekerja dengan lebih perlahan, sekali gus menyebabkan “kerugian besar” kepada perniagaannya.
“Terdapat juga kes yang mana orang rebah di tapak kerja, atau meninggal dunia selepas pulang ke rumah,” kata lelaki berusia 57 tahun itu.

Sebelum ini, lima saman berkaitan iklim telah difailkan di mahkamah Jepun, termasuk terhadap loji janakuasa arang batu, menurut pensyarah pembantu Universiti Kyoto, Masako Ichihara.
Namun Ichihara bersama peguam yang mengendalikan kes ini berkata saman berkenaan merupakan tuntutan pampasan pertama terhadap negara berhubung perubahan iklim.
“Langkah perubahan iklim defendan adalah sangat tidak mencukupi, dan akibatnya hak plaintif untuk menjalani kehidupan yang aman serta menikmati iklim yang stabil telah dicabuli,” menurut ringkasan aduan yang diperoleh AFP sebelum pemfailan.
Tahun ini, Jepun mengalami musim panas terpanas sejak rekod bermula pada 1898, dan plaintif berhujah bahawa gelombang haba sedemikian menyebabkan kerugian ekonomi, memusnahkan tanaman serta meletakkan ramai individu pada risiko strok haba yang serius.
Akiyama, yang kerap bekerja di luar dalam cuaca terik, berkata pasukannya kini memerlukan masa tiga kali ganda daripada anggaran asal untuk menyiapkan projek.
“Saya hampir tidak mampu menggali dengan penyodok selama 10 minit tanpa perlu duduk berehat,” tambahnya.
“Kami tidak akan berada dalam keadaan seteruk ini sekiranya kerajaan mengambil inisiatif lebih awal melaksanakan dasar yang berkesan.”
Langkah undang-undang serupa turut berlaku di peringkat global, termasuk di Korea Selatan, yang mana aktivis alam sekitar muda memenangi kes pertama seumpamanya di Asia.
Tahun lalu, mahkamah Korea Selatan memutuskan bahawa sebahagian besar sasaran iklim negara itu adalah tidak berperlembagaan.
Di Jerman pula, sasaran iklim turut diputuskan sebagai tidak mencukupi dan tidak berperlembagaan pada 2021. Saman di Jepun itu menuntut pampasan sebanyak 1,000 yen (AS$6.5) bagi setiap plaintif.
Peguam utama Shima berkata para plaintif mahu menumpukan perhatian kepada “isu tanggungjawab negara”, bukannya soal wang.
Menurut Ichihara, kes di Jepun ini lebih berani berbanding saman terdahulu kerana ia secara langsung bertujuan mempertanggungjawabkan negara atas kegagalan bertindak terhadap perubahan iklim.
Peluang untuk menang dari sudut perundangan adalah tipis, jelasnya, namun “jika tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran awam, maka ia mungkin berjaya” kerana mesejnya yang “mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian”.
Seorang lagi plaintif yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Saito berkata beliau terdorong mengambil tindakan kerana bimbang terhadap anak lelakinya yang berusia enam tahun.
Beliau berkata suhu rekod kebelakangan ini telah merampas peluang anaknya untuk bermain di luar, dengan kolam awam kadangkala ditutup susulan amaran strok haba.
“Bukan sahaja di kolam, malah bermain di luar secara umum semakin sukar pada musim panas. Peralatan taman permainan menjadi sangat panas dan itu menakutkan saya,” kata Saito kepada AFP. – AFP