
KUCHING: Sarawak Energy menzahirkan komitmen berterusan dalam menyokong pemeliharaan warisan budaya Sarawak menerusi penyertaan pada Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 yang julung kali dianjurkan di sini, baru-baru ini.
Festival berkenaan menghimpunkan pakar, penggiat seni, artisan serta pemimpin komuniti tempatan dan antarabangsa bagi meneroka kaedah memelihara serta menghidupkan semula tradisi tekstil pribumi dalam konteks ekonomi moden.
Majlis perasmian festival itu disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Sarawak Energy diwakili oleh Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat, Siti Aisah Adenan, yang tampil sebagai ahli panel dalam sesi bertajuk ‘Memelihara Warisan, Menghidupkan Semula Industri Tekstil Tradisional dalam Ekonomi Moden’.
Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi pelbagai inisiatif Sarawak Energy yang memperkasa komuniti setempat, antaranya Program Latihan Kemahiran Artisan Baleh yang memberi latihan kepada wanita dan belia artisan dari Kapit dan Baleh dalam bidang tenunan tradisional, reka bentuk kontemporari serta keusahawanan.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja membantu memelihara amalan budaya, malah mewujudkan sumber pendapatan mampan kepada komuniti terlibat.

Beliau turut mengetengahkan inisiatif pemeliharaan budaya lain termasuk Program Pembangunan Kraf Tangan yang memenangi Anugerah Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPs) UN Wanita Malaysia 2024, serta usaha mempromosikan produk komuniti seperti beg rotan, sarung komputer riba batik linut dan tali lanyard manik di acara berskala besar termasuk Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, Forum Pasaran Karbon Malaysia dan Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF).
Selain itu, Sarawak Energy juga melaksanakan Program Pemerkasaan dan Keusahawanan Artisan dengan kerjasama DHL Express dan TikTok Shop bagi membantu artisan mengekalkan kelangsungan hidup melalui latihan perdagangan digital, penstriman langsung, penciptaan kandungan serta jualan dalam talian.
“Di Sarawak Energy, kami percaya legasi kami berakar umbi daripada rakyat, budaya dan tradisi yang membentuk jati diri kita. Melindungi dan memelihara warisan ini memastikan peralihan tenaga turut mengukuhkan identiti, memelihara budaya serta membolehkan komuniti berkembang,” katanya.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 17: Perkongsian untuk Matlamat, Sarawak Energy turut bekerjasama dengan institusi akademik, pembuat dasar, industri dan komuniti bagi memperkukuh ekosistem kraf tempatan, termasuk kerjasama dengan Tanoti Sdn. Bhd. dan komuniti Rumah Garie di Baleh untuk mendokumentasikan teknik tenunan tradisional serta menarik minat generasi muda.
Sepanjang penglibatan bersama komuniti artisan, Sarawak Energy turut meraih pengiktirafan antarabangsa, antaranya Rekod Dunia Guinness pada 2016 bagi tikar anyaman terpanjang dunia yang dihasilkan oleh lebih 400 wanita Orang Ulu dari Bakun, Murum dan Baram.
Syarikat itu juga mencatat rekod dalam Buku Rekod Malaysia bagi Persembahan Sape Tanpa Henti Terpanjang pada 2019 serta Persembahan Dram Batang Ai Tanpa Henti Terpanjang sempena ulang tahun ke-40 Hidroelektrik Batang Ai pada Oktober 2025.
Kesemua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Sarawak Energy di bawah teras tanggungjawab sosial korporatnya meliputi pembangunan komuniti dan keusahawanan serta budaya dan warisan.
Sarawak Energy kekal komited untuk terus bekerjasama dengan komuniti tempatan, artisan dan rakan budaya dalam menyokong pemeliharaan warisan sambil memacu masa depan yang mampan dan inklusif untuk semua.