Brussels: Kesatuan Eropah (EU) mendesak China membenarkan pemerhati bebas memasuki wilayah Xinjiang yang bermasalah semalam.
Malah EU juga memberi amaran bahawa Beijing mesti melakukan konsesi jika negara itu mahu mempersetujui perjanjian pelaburan utama dengan blok berkenaan.
Gesaan itu dilakukan ketika perbincangan melalui sidang video antara pemimpin EU dengan Presiden China, Xi Jinping, yang banyak memfokus kepada aspek perdagangan dan perubahan iklim.
Untuk rekod, China pernah menolak gesaan untuk memberi akses bebas ke Xinjiang yang mana Beijing dituduh menyalahgunakan hak secara meluas terhadap penduduk Uighur beragama Islam.
“Kami mengulangi kebimbangan atas layanan China terhadap golongan minoriti di Xinjiang dan Tibet, serta layanan terhadap pembela hak asasi manusia serta wartawan.
“Kami meminta pemerhati bebas diberikan akses ke Xinjiang dan menyeru pembebasan warga Sweden, Gui Minhai, serta dua warga Kanada yang ditahan,” kata Presiden Majlis EU, Charles Michel.
Kumpulan hak asasi, akademik dan wartawan mendokumentasikan langkah didakwa tindakan keras terhadap umat Islam Uighur serta Kazakh di Xinjiang, termasuk penahanan besar-besaran, penguatkuasaan pemandulan, buruh paksa dan sekatan terhadap agama serta pergerakan.
Aktivis mendakwa terdapat sejuta penduduk Uighur dan lain-lain dikurung di dalam kem yang digambarkan Beijing sebagai pusat latihan vokasional.
Sementara itu, Vaksin Covid-19 yang dibangunkan China dijangka boleh dipasarkan seawal November nanti, kata jurucakap China kepada stesen televisyen tempatan.
Pengeluar China yakin dengan perkembangan ditunjukkan setakat ini, dengan syarikat Sinovac Biotech dan Sinopharm turut mempamerkan calon vaksin mereka di pameran perdagangan di Beijing bulan ini.
Wakil firma berkenaan berharap vaksin yang dibangunkan akan diluluskan selepas fasa tiga ujian percubaan dilaksanakan seawal hujung tahun ini.
Isnin lalu, ketua pakar keselamatan bio di Pusat Kawalan Penyakit China memberitahu CCTV bahawa vaksin akan tersedia untuk masyarakat umum “sekitar November atau Disember.”
Wu Guizhen tidak menyatakan vaksin mana yang dimaksudkan namun menyebut “berdasarkan keputusan ujian klinikal fasa tiga, perkembangan semasa sangat lancar”.
Wu berkata, beliau turut mengambil suntikan vaksin pada April dan berasa sangat baik dalam tempoh beberapa bulan ini, walaupun tidak menyatakan vaksin mana yang dipilih.
Ketika ini, terdapat sembilan calon vaksin berada dalam fasa akhir ujian ke atas manusia.
Sebilangan calon vaksin China telah ditawarkan kepada pekerja penting dalam program penggunaan kecemasan.
Jurucakap Sinovac memberitahu AFP bulan ini bahawa “puluhan ribu” orang secara sukarela telah mengambil vaksinnya, termasuk 90 peratus pekerja dan keluarganya – antara 2,000 dan 3,000 orang.-AFP