
KOUROU, Perancis: Roket Eropah Ariane 6 berjaya dilancarkan dari pangkalan angkasa Kourou, Guiana Perancis membawa dua satelit navigasi global Galileo, menurut laporan AFP.
Pelancaran berlaku pada 2.01 pagi waktu tempatan (0501 GMT) bagi penerbangan komersial keempat sistem pelancaran Ariane 6 sejak ia mula beroperasi tahun lalu.
Roket ini membawa dua lagi satelit program Galileo Kesatuan Eropah, sistem satelit navigasi global yang bertujuan mengurangkan kebergantungan blok itu kepada Sistem Penentududukan Global (GPS) Amerika Syarikat.
Kedua-dua satelit dijangka diletakkan di orbit hampir empat jam selepas pelancaran.
Ini akan menjadikan jumlah satelit Galileo dalam orbit sebanyak 34 dan “meningkatkan ketahanan sistem Galileo dengan menambah satelit gantian dalam konstelasi untuk memastikan navigasi 24/7 kepada berbilion pengguna.
“Satelit ini akan menyertai konstelasi di orbit Bumi sederhana pada ketinggian 23,222 km (14,429 batu) di atas permukaan Bumi,” menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA).
Sebelum ini, kebanyakan satelit Galileo dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 dan Soyuz Rusia dari Kourou.
Selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Eropah menghentikan kerjasama angkasa dengan Moscow.
Sebelum Ariane 6 mula beroperasi pada Julai 2024, EU menandatangani kontrak dengan SpaceX milik Elon Musk untuk melancarkan dua satelit Galileo menggunakan roket Falcon 9 pada September 2024 dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida. – AFP